Khamis, 9 Julai 2009

Keputusan wajar demi masa depan anak bangsa

KEPUTUSAN bahasa yang digunakan untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik telah dimuktamadkan.

Namun bukan bermakna ada pihak yang menang atau kalah kerana matlamatnya adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Keputusan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam hanya mempunyai satu matlamat.

Semestinya ia bukan untuk kepentingan politik - jauh sekali kerana tunduk kepada desakan pihak-pihak tertentu.

Keputusan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kedua-dua subjek itu demi masa depan pelajar.

Ia juga selaras dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Usaha itu telah dimulakan sejak puluhan tahun lalu sehingga penggunaan bahasa Melayu diperluaskan ke mahkamah termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sebab itu apabila Sains dan Matematik mula diajar dalam bahasa Inggeris biarpun sangat diakui murni niatnya, banyak pihak yang membantah.

Apatah lagi selepas merujuk kepada statistik dan fakta, ketara ada kemerosotan keputusan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran.

Bagi mengelak 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran', maka keputusan semalam dimuktamadkan selepas rundingan dengan pelbagai pihak dijalankan.

Semua pihak yang terlibat mencorakkan sistem pendidikan di negara ini mesti bergerak pantas susulan daripada pengumuman ini.

Selepas ini tiada lagi alasan untuk para pelajar terutama di luar bandar mencatatkan peratusan yang rendah dalam kedua-dua mata pelajaran.

Tidak ada alasan juga jika penguasaan bahasa Inggeris mereka lemah.

Ini kerana selain memuktamadkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu, formula memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris turut dibentangkan.

Usaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan penguasaan para pelajar dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris mesti digerakkan serentak.

Kesemua formula yang disenaraikan mesti dilaksanakan dengan berkesan.

Tiada ruang untuk menunggu hatta seminit sekali pun jika semua pihak benar-benar serius untuk memajukan anak bangsa terutama di luar bandar dan pedalaman.

Semua masalah yang menjadi faktor penghalang mesti segera dirungkai. Masalah kekurangan guru yang fasih berbahasa Inggeris misalnya mesti segera diatasi.

Begitu juga kaedah pengajaran yang tidak menarik sehingga gagal menarik minat pelajar untuk mempelajari mata pelajaran itu mesti segera diubah.

Tidak kurang pentingnya adalah pastikan graduan yang memilih profesion perguruan bukan kerana terpaksa. Mereka mesti menyerap 'roh' bidang perguruan itu dengan penuh minat selain ikhlas untuk mendidik anak bangsa.

Tanpa elemen itu, sebaik mana pun sistem yang dirangka, secantik mana pun dasar yang diperkenalkan, tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pasti kekal di takuk lama.

Begitu juga bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Minda pelajar mesti dirangsang untuk mencintai kedua-dua mata pelajaran itu.

Akhirnya, semua pihak yang bersungguh-sungguh mahu bahasa Melayu dimartabatkan, tanggungjawab itu sebenarnya bukan hanya di peringkat dasar kementerian.

Di bahu mereka terpikul beban itu. Sekadar bercakap, menggesa dan berdemonstrasi tidak cukup untuk memastikan martabat bahasa Melayu diangkat selamanya.

Utusan Malaysia Online: 9 Julai 2009

Tiada ulasan: