Khamis, 9 Julai 2009

Bukan soal untung politik

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencatat �posting� mereka dalam laman web www.myideas.my pada majlis ringkas pelancaran laman berkenaan di Pejabat Perdana Menteri, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Laman web dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bertemakan �1 Malaysia 1 Million Ideas� itu adalah satu platform khusus menyemai, memupuk dan menggalakkan budaya perkongsian idea, kreativiti dan inovasi di kalangan masyarakat sempena Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia 2010.

Strategi ganti PPSMI utama masa depan pelajar: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Langkah kerajaan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia dan memantapkan bahasa Inggeris mulai 2012 bukan untuk mendapatkan keuntungan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan mengutamakan masa depan pelajar berbanding keuntungan politik, termasuk pada pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan.

"Ini bukan (soal) politik... saya tidak mahu mendapatkan keuntungan politik. Ia bukan menjadi pertimbangan. Apalah Manek Urai berbanding) masa depan rakyat dan negara.

"Ini soal masa depan anak kita. Kita mengambil keputusan secara objektif bukan kerana politik, walaupun pembangkang kata kita putuskan kerana mereka (pembangkang)," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan kajian empirikal dan saintifik serta sejajar kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang menunjukkan pelajar lebih mudah menguasai ilmu pada peringkat awal persekolahan dengan menggunakan bahasa ibunda.

Menjawab soalan, Muhyiddin berkata, PPSMI perlu diteruskan sehingga selesai pusingan enam tahunnya sebelum ditukar.

Beliau berkata, kerajaan menyedari kelemahannya lebih awal, tetapi tidak boleh menukarnya kerana ketika itu masih terlalu awal dan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Kerajaan bertindak wajar... kita perlu menghabiskan pusingan (tempoh pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris) dan membuat keputusan yang betul," katanya.

Namun, Muhyiddin menolak andaian kononnya PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003 itu satu kegagalan, sebaliknya hanya tidak mencapai matlamat yang disasarkan.

"Ia bukan kegagalan sepenuhnya (tetapi) proses yang perlahan untuk mencapai matlamat yang sepatutnya dicapai dan untuk bidang pendidikan ia tidak bagus," katanya.

Muhyiddin juga berkata, beliau bersama pegawai kanan kementerian berbincang lebih tiga jam dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung perkara itu kerana menghormati Dr Mahathir yang mengilhamkan PPSMI.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, mereka menerangkan mengenai kesukaran untuk meneruskan PPSMI, masalah keupayaan guru dan murid menguasai bahasa Inggeris serta jurang pencapaian sekolah bandar dan luar bandar serta antara sekolah kebangsaan dan bukan kebangsaan.

"Dr Mahathir umumnya menerima hakikat ini," katanya.

Malah, katanya, beberapa idea Dr Mahathir digunakan dalam strategi baru itu seperti penggunaan komputer interaktif untuk meningkatkan penguasaan bahasa dan mewujudkan makmal bahasa.

Berita Harian Online: 9 Julai 2009

Tiada ulasan: