Rabu, 8 Julai 2009

Sekolah Terbilang: Pusat pendidikan khas



Lokasi sekolah berhampiran pantai Bagan Lalang, Selangor sesuai diterokai guru pendidikan khas untuk P&P yang berkesan.

Guru SKTPSP laksanakan P&P secara kreatif dan inovasi untuk membimbing murid bermasalah

SEKOLAH Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra (SKTPSP) menjadi pusat pendidikan khas bersepadu bagi murid berkeperluan khas di sekitar Sepang dengan menawarkan program pendidikan secara kreatif dan inovasi bagi membolehkan mereka mendapat bimbingan.

Guru besarnya, Mohamad Noor Sanusi, berkata berdasarkan kesungguhan dan dedikasi guru melaksanakan tugas penuh dengan kesabaran, proses pengajaran dan pembelajaran secara kreatif dapat menarik minat golongan sasar dalam bidang akademik.

Sekolah yang mempunyai 660 murid daripada pelbagai kaum dan keturunan daripada keluarga berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah itu, kata beliau sebelum ini hanya menyediakan kelas untuk murid bermasalah pembelajaran.

Bagaimanapun, katanya memandangkan kualiti pengajaran yang membanggakan, pihaknya memohon Jabatan Pelajaran Daerah Sepang mewujudkan satu lagi kelas khas bagi murid cacat pendengaran dan kelas prasekolah pendidikan khas mulai tahun depan.

“Usaha ini bertujuan membolehkan murid dari kawasan berhampiran mendapatkan pendidikan dan bimbingan sewajarnya. Sebelum ini ibu bapa perlu menghantar anak cacat pendengaran ke sekolah di Shah Alam dan Seremban.

Pelajar mendapat bimbingan khas daripada guru yang berpengalaman.

“Diharapkan dengan kemudahan ini, lebih ramai ibu bapa dan pemimpin masyarakat kawasan sekitar merujuk murid berkenaan ke SKTPSP untuk bimbingan awal,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemudahan pembelajaran bagi murid cacat pendengaran di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Bagi menjayakan program pendidikan khas cacat pendengaran, Mohamad Noor berkata, pihaknya menyediakan dua guru berpengalaman yang pernah bertugas di Sekolah Pendidikan Khas Bersepadu, Indahpura, Kulai dan di Kedah.

Pendekatan membimbing murid cacat pendengaran dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti antaranya membina istana pasir. Ia mampu meningkatkan kreativiti murid berkenaan.

Lokasi sekolah berhampiran pantai Bagan Lalang adalah kekuatan yang perlu diterokai guru pendidikan khas di sekolah berkenaan.

Murid bermasalah pendengaran sekolah itu pada asalnya mengikut sukatan pelajaran aliran perdana.

Golongan ini memerlukan aktiviti luar bilik darjah yang boleh menonjolkan bakat dan kebolehan murid. Pelbagai aktiviti permainan dianjurkan seperti bola tampar, larian dan lompatan untuk meningkatkan kekuatan fizikal murid.

Pihak sekolah mengalu-alukan kehadiran murid-murid baru bermasalah pendengaran di sekitar Sepang dan lebih menarik lagi program Prapendidikan Khas juga akan dibuka bermula tahun depan.

Mohamad Noor berkata, Sepang memerlukan kemudahan pendidikan pendidikan khas cacat pendengaran bagi membolehkan kanak-kanak kawasan berhampiran mendapatkan bimbingan sebaik mungkin.

Setakat ini, katanya, lima kelas pendidikan khas disediakan iaitu empat bagi bimbingan masalah pembelajaran manakala satu bagi kelas cacat pendengaran. Kelas berkenaan dikendalikan sembilan guru dan empat pembantu guru.

Mengulas kerjasama ibu bapa dan guru, beliau berkata, masing-masing dapat bekerjasama dan berbincang mengenai masalah berkaitan.

Selain memberikan sokongan moral kepada guru dalam mendidik anak bangsa yang memerlukan bantuan khas, mereka juga sedia menghulurkan bantuan kewangan dalam menjayakan setiap aktiviti sekolah.

Walaupun masih baru beroperasi, SKTPSP mencatatkan prestasi akademik membanggakan dengan peratus lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada paras 70 peratus dalam tempoh empat tahun berturut-turut.

“Kami tidak buat perbandingan dengan sekolah lain, namun prestasi yang dicapai murid begitu menggalakkan dan yakin ia dapat diperbaiki dari semasa ke semasa menerusi pelbagai program bimbingan terutama menjelang peperiksaan,” katanya.

Bagi aktiviti sukan pula, Mohamad Noor berkata, pihaknya mempunyai pasukan ragbi terbaik bawah 12 tahun peringkat Sepang dan pernah menjuarai beberapa pertandingan.

Pasukan ini menjalani latihan dan masing-masing dapat memberikan yang terbaik setiap kali beraksi di padang.

Selain ragbi, beliau berkata, sekolahnya mempunyai pasukan bola baling yang mempunyai semangat yang tinggi dan sentiasa mengharapkan kemenangan setiap kali bertanding.

Berita Harian Online: 8 Julai 2009

Tiada ulasan: