Khamis, 9 Julai 2009

Strategi serampang dua mata mantapkan 2 bahasa

Oleh Johari Ibrahim, Anwar Hussin, Syuhada Choo Abdullah, Faiza Zainudin, Saufi hamzah, Azrina Azhan, Mohd Anwar Patho Rahman, Rosniza Mohd Taha, Basir Zahrom dan Fatin Hafizah Mohd Sahar
bhnews@bharian.com.my

Gapena sedia beri tuisyen percuma kepada pelajar luar bandar

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memartabatkan bahasa Malaysia bagi menggantikan PPSMI dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris pada semua peringkat persekolahan, disifatkan sebagai strategi serampang dua mata yang mewujudkan situasi menang-menang.

Pelbagai pihak termasuk pejuang bahasa, kesatuan guru serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang membantah pelaksanaan dasar itu, mengalu-alukan langkah bijak berkenaan dan lega isu yang berlarutan sejak 2003 diselesaikan.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata instrumen serampang dua mata itu menepati matlamat memperkasakan sistem pendidikan negara, sekali gus mengutamakan kepentingan pelajar melebihi desakan politik dan pihak tertentu.

Beliau berkata, ia pasti menggembirakan sebahagian besar ibu bapa kerana penggunaan bahasa Melayu serta bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar memudahkan mereka membantu pembelajaran anak dalam dua subjek berkenaan.

"Ia kejayaan semua. Oleh itu, tidak timbul langsung soal pembaziran perbelanjaan yang sudah dikeluarkan selama ini, terutama latihan guru serta penyediaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad, menganggap keputusan itu memenuhi kehendak sebahagian besar rakyat pelbagai kaum.

"Ia keputusan bijak walaupun agak terlambat. Kami berharap mulai 2012, pelajar tidak lagi menjadi mangsa dasar yang salah.

"Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat keputusan yang diterima semua pihak. Beliau umpama doktor baru yang memberi ubat sebenar dan mujarab kepada penyakit," katanya.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, mengakui lega dengan keputusan itu kerana berpendapat pelaksanaan PPSMI adalah penghinaan kepada bahasa Melayu, selain mendewa-dewakan bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, saya agak terkilan kerana pemansuhan PPSMI tidak dilakukan serta-merta. Apa-apa pun boleh terjadi dalam tempoh tiga tahun lagi. Namun, saya memahami tindakan itu perlu supaya adil kepada pelajar yang sedang mengikuti PPSMI.

"Mengenai strategi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, tumpuan dan usaha yang sama harus diberikan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan," katanya.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein menyifatkannya sebagai langkah realistik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau berikrar untuk bekerjasama membantu kerajaan memperkasakan bahasa Melayu dan pada masa sama tidak meminggirkan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

"Namun, perjuangan Gapena tidak akan terhenti begitu saja selagi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di IPT," katanya.

Gapena juga bersedia memberi tuisyen percuma kepada pelajar di luar bandar bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris.

Presiden Pertubuhan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Ong Chiaw Chuen menyifatkan ia sebagai langkah bertolak ansur selaras gagasan 1Malaysia.

"Semua rakyat tanpa mengira kaum gembira dengan keputusan kerajaan dan memberi peluang kepada kami menggunakan bahasa Melayu dan bahasa ibunda yang difahami bagi belajar subjek Sains dan Matematik.

"Ia menunjukkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) bertolak ansur dan boleh berunding dengan semua pihak. Ia melambangkan gagasan IMalaysia yang dilaungkannya sebelum ini," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT), M Muthiah turut gembira kerana membantu pelajar luar bandar terutama bagi meningkatkan pencapaian dalam subjek kritikal.

"Satu langkah yang bijak dan sebanyak 521 SJKT seluruh negara menyambut baik langkah kerajaan menggunakan semula bahasa ibunda berbanding bahasa Inggeris.

Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming, Phang Yoon Ming, bagaimanapun berpendapat dasar PPSMI harus dikekalkan pada peringkat sekolah menengah bagi membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Berita Harian Online: 9 Julai 2009

Tiada ulasan: