|
|
BESUT – Mereka sudah banyak kali diingatkan supaya membeli buku latihan Bahasa Inggeris yang berharga RM18. Apabila mereka datang ke sekolah tanpa buku itu, tiga murid sebuah sekolah kebangsaan di Jerteh di sini pulang ke rumah dengan kepala dan betis lebam dirotan oleh guru.
Guru itu didakwa naik angin ekoran ketiga-tiga pelajar daripada keluarga miskin tersebut gagal menyiapkan kerja sekolah mereka yang berpandukan latihan dalam buku yang mereka belum beli.
Mengenang kembali kejadian itu, Normi Hafidah Muhamad, 11, mendakwa, mereka dirotan di kepala sekali dan menerima empat sebatan di betis apabila guru itu marah kerana mereka masih belum membeli buku berkenaan.
“Sejak bulan lepas sudah banyak kali saya minta duit daripada ayah untuk beli buku tapi dia diam saja,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Belanga dekat sini semalam.
Bapanya, Muhamad Nor yang menghidap penyakit kencing manis dan batuk kering mendakwa telah berusaha mengumpul wang agar anaknya dapat membeli buku tersebut.
“Saya belum dapat beri dia wang itu, tak sangka dia dirotan dengan teruk,’’ katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga tujuh beranak.
Rakan anaknya, Nuraini Afika Rosmadi, 11, pula kini fobia ke sekolah kerana bimbang dirotan lagi.
Kosmo: 21 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan