Khamis, 11 Jun 2009

Guru tidak sanggup bertugas

SAYA ingin merujuk kepada beberapa surat mengenai guru kecewa kerana pertukaran mereka tidak berjaya yang pernah disiarkan dalam ruangan ini.

Merujuk kepada permasalahan itu, saya boleh katakan tidaklah besar sangat berbanding pengorbanan beberapa guru Semenanjung yang berkhidmat di pedalaman Sarawak, terutama di kawasan sekolah saya (SMK Balleh, Ulu Kapit).

Untuk makluman, sekolah saya adalah antara sekolah menengah paling pedalaman di Sarawak, mungkin juga di Malaysia.

Jalan perhubungan hanyalah sungai dan apabila kemarau bot tidak dapat melalui sungai itu. Maka, bergelaplah sekolah untuk tempoh itu disebabkan tongkang menghantar minyak tidak dapat mudik ke sekolah kami.

Ia berlaku pada Mei 2006. Air paip graviti dari bukit juga kering dan menyebabkan pelajar dan guru terpaksa mandi di Sungai Balleh. Pekan paling hampir adalah Kapit yang jauhnya tiga jam perjalanan menggunakan bot ekspres.

Perhubungan telefon jauh sekali di sini. Guru dan staf kadang-kadang turun ke pekan Kapit hanya untuk tujuan menelefon. Namun, sudah hampir lima tahun saya berkhidmat di sini dan saya melihat tiada guru yang mengeluh, jauh sekali menyalahkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri kerana menempatkan mereka ke sini.

Hampir semua guru Semenanjung yang berkhidmat di sini menyesuaikan diri dengan keadaan.

Mereka bertutur bahasa Iban dengan pelajar. Ramai juga yang berumah tangga dengan penduduk tempatan. Namun, ia tidak dijadikan alasan untuk mendesak JPN memindahkan mereka serta merta. Mereka sanggup tunggu sampai tiga tahun tempoh perkhidmatan.

Seorang guru yang ditempatkan ke sini pada pertengahan 2008 baru melangsungkan perkahwinannya tetapi masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Tangannya masih berinai ketika melapor diri, namun beliau komited mendidik anak bangsa di kawasan Balleh ini. Dua minggu sekali beliau ke Kapit untuk menelefon isterinya.

Mungkin guru yang kecewa itu terlalu memikirkan kepentingan peribadi melebihi amanah yang diberikan. Fikirlah, masih ada guru yang lebih susah lagi daripada anda. Kalau setakat berpisah di Semenanjung, itu masih munasabah lagi sebab boleh berjumpa sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Bagaimana dengan guru yang berkhidmat di pedalaman Sarawak? Mereka hanya berjumpa isteri dan keluarga ‘sekali dalam satu penggal.’ Bersyukurlah kerana dipilih berkhidmat dalam bidang perguruan.

Ada lebih 100,000 graduan lagi yang masih menunggu untuk ditemuduga bagi jawatan guru.

Kalaulah guru kecewa berkenaan ingin berhenti menjadi guru sekarang, ada ramai lagi bakal guru yang menunggu penempatan pertama untuk menjadi gantinya.

GURU CEKAL,

Kapit, Sarawak.

Berita Harian Online: 11 Jun 2009

Tiada ulasan: