Pengarah JPN Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata pihaknya hanya membenarkan pelajar yang terbabit dalam kejadian histeria berkenaan berehat bagi memulihkan semangat sebelum kembali bersekolah pada hari ini.
Katanya, pihaknya tidak pernah membenarkan sekolah berkenaan ditutup selama tiga hari seperti yang dikatakan sesetengah ibu bapa sebaliknya ada pelajar yang bimbang 'dirasuk' tidak hadir ke sekolah pada Jumaat lalu.
"Ini bukan kes yang berbahaya seperti jangkitan wabak dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Samarahan telah diminta mengunjungi sekolah itu bersama ustaz bagi menyelesaikan masalah yang mengganggu pelajar.
"Sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa esok (hari ini) dengan ibu bapa diminta tidak menghalang anak mereka pergi ke sekolah dengan JPN akan mengambil langkah seterusnya jika kejadian berulang," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Khamis lalu, lebih 10 pelajar tingkatan tiga hingga lima sekolah berkenaan histeria selepas mendakwa melihat 'lembaga' berkeliaran di dalam kelas masing-masing menyebabkan keadaan menjadi gempar.
Akibatnya, Jumaat lalu, hampir separuh pelajar sekolah berkenaan tidak hadir selepas ibu bapa bimbang anak mereka dirasuk walaupun tiada arahan sekolah berkenaan ditutup dikeluarkan mana-mana pihak.
Dr Julaihi berkata, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, gangguan secara beramai-ramai berkenaan adalah yang pertama kali berlaku di sekolah berkenaan walaupun sebelum ini ada beberapa kes membabitkan individu berlaku.
Berita Harian Online: 30 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan