Khamis, 11 Jun 2009

Selesaikan isu PPSMI dahulu - Mukhriz

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kerajaan diminta menyelesaikan terlebih dahulu isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum mencadangkan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang menyokong usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar berkata, kerajaan wajar menangani PPSMI terlebih dahulu kerana ia isu sensitif.

"Paling penting, cuba selesaikan dulu PPSMI sebelum apa jua keputusan berhubungan cadangan mewajibkan bahasa Inggeris dalam SPM dimuktamadkan.

"Ketetapan berhubung PPSMI perlu dicapai terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang mencadangkan supaya calon diwajibkan lulus subjek Bahasa Inggeris dalam SPM.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mempelawa orang ramai mengemukakan pandangan berhubung cadangan yang dilontarkan beliau itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mempelajari subjek Bahasa Inggeris tetapi tidak mewajibkan pelajar untuk lulus subjek berkenaan dalam SPM menjadikan standard bahasa Inggeris merosot.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, PPSMI sehingga kini masih diperdebatkan dan ia memerlukan ketetapan segera daripada kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan mewajibkan calon SPM lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris suatu kesedaran memartabatkan bangsa Malaysia agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain.

Malah, beliau memuji sikap Timbalan Perdana Menteri yang terbuka mendengar semua pandangan rakyat dalam usaha meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris terutama di kalangan pelajar di luar bandar.

Menjawab soalan berhubung gesaan pelbagai pihak supaya kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris diubah terlebih dahulu selain menyediakan guru-guru yang mampu menguasai bahasa itu dengan baik, Mukhriz menjelaskan, banyak pembaharuan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran.

"Namun, kita faham pendidikan adalah suatu yang dinamik dan sentiasa memerlukan pembaharuan.

"Kita faham keluhan yang disuarakan kerana masih terdapat ruang untuk dipertingkatkan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 11 Jun 2009

Tiada ulasan: