Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
Mampu percepat proses transformasi sistem pendidikan
PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib bagi semua murid di sekolah rendah, bermula dengan Tahun Satu, tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian juga sudah mengenal pasti kira-kira 500 sekolah rendah termasuk di bandar dan luar bandar yang bakal menjadi perintis pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah.
Alimuddin berkata, pengenalan mata pelajaran Sejarah bukan saja selari dengan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, malah mampu mempercepatkan proses transformasi sistem pendidikan negara.
"Sebelum ini, Sejarah hanya menjadi sebahagian daripada mata pelajaran Kajian Tempatan. Bagaimanapun, tidak lama lagi pengajaran dan pembelajaran Sejarah akan diterapkan kepada murid di sekolah rendah bermula dengan Tahun Satu.
"Keputusan mengenai bila ia akan menjadi subjek wajib sama ada mulai tahun depan atau 2011, bakal diumumkan Menteri Pelajaran, menjelang akhir tahun ini," katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.
Oktober tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pernah mencadangkan mata pelajaran Sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula dari peringkat umur rendah.
Abdullah berkata, langkah berkenaan perlu kerana lazimnya pelajar yang mengikuti aliran sains di sekolah menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya memasuki alam pekerjaan, tidak terdedah kepada mata pelajaran Sejarah.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, pengenalan subjek Sejarah pada peringkat awal juga membolehkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah menjadi lebih menyeronokkan.
Pada masa sama, Alimuddin berkata, kementerian juga sedang mengenal pasti pendekatan efektif bagi menangani rungutan ibu bapa mengenai masalah beg berat berikutan terlalu banyak buku yang perlu dibawa anak mereka ke sekolah.
"Kementerian akan melaksanakan sistem baru dalam membuat penilaian terhadap prestasi pelajar iaitu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK), bermula dengan murid Tahun Satu.
"Menerusi sistem baru itu, prestasi pelajar bukan saja dinilai berasaskan peperiksaan, malah turut mengambil kira aspek rohani, jasmani dan emosi secara bersepadu termasuk pembabitan mereka dalam kegiatan kokurikulum," katanya.
Berita Harian Online: 14 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan