Khamis, 25 Jun 2009

Histeria jejas persekolahan SMK Wira Penrissen

KUCHING 24 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen gempar apabila hampir 10 pelajar diserang histeria secara berperingkat semasa majlis perhimpunan pagi sekolah itu hari ini.

Difahamkan ia bermula apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga mula meracau ketika sesi ucapan wakil pelajar sedang berlangsung.

Seorang pelajar yang ditemui Utusan Malaysia berkata, serangan histeria bermula sejak Isnin lalu apabila seorang pelajar lelaki tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, kejadian itu berlanjutan sehingga semalam apabila dua pelajar lelaki mula meracau diikuti oleh lima lagi pelajar perempuan.

Pagi ini, kejadian sama berulang dan bilangan pelajar yang menjadi mangsa lebih ramai menyebabkan keadaan sukar dikawal.

Setelah keadaan semakin teruk dan sukar dikawal, semua pelajar perempuan diarah berkumpul di dalam dewan membacakan surah Yasin manakala bagi pelajar bukan Islam pula, mereka diminta berdoa mengikut cara masing-masing.

Menurut sumber, pelajar tingkatan tiga paling ramai diserang histeria.

Apa yang menghairankan, pelajar lelaki juga menjadi mangsa termasuk beberapa pelajar bukan Islam.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah tersebut sekitar jam 12 tengah hari mendapati pelajar sesi pagi dibenarkan pulang lebih awal dan beberapa pegawai dari Jabatan Pelajaran negeri berada di kawasan tersebut.

Sementara itu pelajar yang datang untuk sesi petang diarahkan berkumpul di dalam dewan sebelum dibenarkan pulang setengah jam kemudian.

Rata-rata ibu bapa pelajar yang ditemui di sini melahirkan rasa bimbang jika kejadian itu berterusan kerana ia boleh menjejaskan persekolahan anak-anak mereka.

Seorang ibu yang tidak mahu namanya disiarkan menyarankan agar pihak sekolah segera menyelesaikan masalah berkenaan kerana keadaan itu menyebabkan pelajar takut untuk ke sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr. Julaihi Bujang ketika dihubungi lewat petang ini mengesahkan kejadian tersebut.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2009

Tiada ulasan: