TELUK INTAN 23 Jun - Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah di sini mungkin ditutup tahun depan berikutan ketiadaan murid baru yang mendaftar untuk memasuki sekolah itu.
Beberapa bekas murid sekolah itu yang ditemui Utusan Malaysia hari ini berkata, bilangan murid di sekolah tersebut mula merosot sejak tahun 1980-an lagi.
Jefri Din Md. Baddaron, 40, berkata, sebelum ini ramai murid Melayu dari kampung tradisional berdekatan belajar di sekolah tersebut termasuk dia sendiri dari tahun 1974 hingga 1979.
''Ketika itu, sekolah berkenaan mempunyai 80 murid India dan Melayu,'' katanya.
Bagaimanapun katanya, apabila kerajaan membina dua sekolah kebangsaan (SK) iaitu SK Sungai Jejawi dan SK Seberang Perak, ramai murid Melayu telah berpindah ke sekolah baru.
Seorang lagi murid tua sekolah itu, G. Devanandran, 40, berpendapat, sekolah itu wajar ditutup kerana tidak ramai lagi pekerja ladang tempatan tinggal di situ.
''Tiada buruh tempatan tinggal di Ladang Sungai Timah lagi kerana telah berpindah ke tempat lain, yang ada buruh asing dari Bangladesh dan Indonesia,'' katanya.
Sementara itu, pemandu bot, G. Kalai Selvan, 57, membayangkan dia mungkin tidak lagi membawa murid ke sekolah itu tahun depan.
Berpengalaman selama 20 tahun membawa bot penumpang menyeberangi Sungai Perak katanya, apa yang bakal berlaku itu akan meninggalkan memori dalam hidupnya.
''Dulu saya bawa antara 10 hingga 20 murid setiap hari ke sekolah dengan tambang dibayar oleh pihak pengurusan ladang. Sekarang hanya seorang murid sahaja dan selepas ini, tiada lagi murid yang akan saya bawa,'' katanya.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan maklumat lanjut daripada guru besar sekolah itu gagal apabila beliau enggan menjawab sebarang soalan.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah seorang murid yang bosan dan sunyi kerana terpaksa belajar seorang diri berikutan dia adalah satu-satunya murid di sekolah tersebut sejak enam bulan lalu.
Ketiadaan rakan untuk diajak berbual, apatah lagi bermain permainan disukai pada waktu lapang, menyebabkan K. Humah, 12, menjadi murid pendiam.
Sekolah itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit milik MHC Plantation Berhad, kira-kira 40 kilometer dari sini melalui Jalan Teluk Intan - Lumut.
Selain Guru Besar, M. Paramiswary, 54, sekolah itu dibantu oleh seorang guru akademik, M. Jayakumar, 27, dan seorang guru sandaran, V. Moganathaf, 19.
Apa yang menarik, sekolah berkenaan mempunyai kelengkapan setanding dengan sekolah lain seperti komputer, projektor, perpustakaan, bilik permainan dalaman, peti televisyen, kantin dan padang mini.
Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan