Selasa, 23 Jun 2009

Hanya seorang murid, tiga guru

Oleh Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my


HUMAH berjalan keluar dari bangunan SRJK Tamil Ladang Sungai Timah selepas tamat waktu persekolahan.

SRJK Tamil Ladang Sungai Timah mungkin tiada pelajar tahun depan

TELUK INTAN: Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah, Mukim Bandar dekat sini, kini hanya mempunyai seorang murid, tetapi tiga guru termasuk guru besarnya.

Pelajar perempuan tunggal sekolah itu, K Humah, 12, adalah murid Tahun Enam yang belajar di situ sejak Tahun Satu dan tahun depan sekolah berkenaan dijangka tiada lagi murid.

Guru Besarnya, M Paramisywary, 45, dibantu dua guru lain iaitu M Jayakumar, 27, yang sudah tiga tahun mengajar di situ, manakala seorang lagi adalah guru sandaran, V Moganathaf, 19, baru setahun mengajar serta seorang tukang kebun.

Walaupun hanya seorang murid, sekolah itu mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran seperti komputer, projektor, perpustakaan, peti televisyen, kantin dan padang.

Kemerosotan bilangan murid di sekolah itu bermula sejak 80-an apabila ramai buruh ladang yang bersara berpindah ke tempat lain sementara tempat mereka diambil alih buruh asing.

Berita Harian yang meninjau sekolah itu baru-baru ini juga gagal menemui guru besarnya kerana bercuti sakit, sementara Jayakumar dan Moganathaf enggan memberi sebarang komen dengan alasan perlu mendapat izin Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Humah juga tidak bersekolah pada hari berkenaan kerana demam.

Ketika ditemui di rumahnya di Ladang Edward kira-kira lapan kilometer dari sekolahnya, dia mengesahkan berasa sunyi dan bosan belajar seorang diri.

"Saya jadi pendiam kerana tidak ada rakan untuk berbual waktu rehat, bermain atau bertanya mengenai pelajaran," katanya yang bercita-cita menjadi pendidik.

Dia dihantar bapanya setiap hari ke sekolah berasa terkilan kerana tidak dapat menyertai kegiatan kokurikulum seperti sukan kerana seorang diri.

Bapanya, P Krishnan, 40, buruh ladang dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan, berkata beliau tiada pilihan dan terpaksa menghantar anaknya ke sekolah itu.

"Saya tidak mampu membayar tambang bas RM20 sebulan dan belanja sekolah lain jika terpaksa menghantar anak saya ke sekolah di bandar Teluk Intan," kata bapa kepada enam anak itu.

Berita Harian Online: 23 Jun 2009

Tiada ulasan: