KUALA LUMPUR 21 Jun - Cadangan mewajibkan pelajar lulus di peringkat kredit bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat wajar dilaksanakan.
Presiden Persatuan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, ia berupaya menjadi penanda aras kepada penguasaan lebih baik bahasa kebangsaan itu di kalangan pelajar.
''Ia tidak sukar dilaksanakan dan tidak membebankan pelajar kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia mahir menguasai bahasa Melayu,'' katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas syarat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang bersetuju dengan cadangan mewajibkan calon SPM perlu lulus Bahasa Inggeris jika kerajaan memenuhi lapan tuntutan mereka.
Gapena antaranya mahu BM diwajibkan lulus peringkat kredit untuk mendapat SPM.
Mohamad Ali berkata, PIBGN menyokong penuh cadangan Gapena itu kerana ia akan dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad yang turut menyokong cadangan itu yakin langkah tersebut akan meningkatkan mutu dan prestasi pelajar menguasai mata pelajaran itu.
''Bahasa Melayu juga akan dapat dimartabatkan ke tahap lebih baik sekiranya langkah ini dilaksanakan,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 22 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan