Jumaat, 12 Jun 2009

'Longgar syarat ambil guru lelaki'

Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my

Nisbah pendidik agak membimbangkan

LANGKAWI: Kementerian Pelajaran akan mencari kaedah terbaik, termasuk kemungkinan memberi sedikit kelonggaran dalam pengambilan guru lelaki sebagai langkah menarik minat golongan itu menyertai profesion perguruan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, jika langkah itu dilaksanakan, tempoh kursus yang perlu dihadiri mereka mungkin akan dilanjutkan atau ditambah bagi mengelak kelayakan dimiliki guru lelaki dipersoalkan.

"Saya bukan katakan untuk turunkan gred kelayakan pengambilan guru, cuma mungkin ada sedikit kelonggaran untuk mengambil golongan lelaki yang kurang kelayakan bagi menyertai bidang perguruan.

"Malah, beberapa tindakan lain juga boleh diambil untuk meningkatkan kemahiran mereka termasuk memperkenalkan insentif tertentu, demi merapatkan jurang nisbah antara guru lelaki dan perempuan di negara ini.

"Ini bukan soal diskriminasi atau berlaku adil kepada mana-mana jantina. Bagi saya, nisbah guru lelaki iaitu 20, berbanding 80 guru wanita di negara ini suatu yang agak membimbangkan dan perlu diambil kira," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Kilim Geo-Forest Park, di sini, semalam. Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abd Rahman dan keluarga.

Semalam, Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan penyertaan lelaki termasuk bukan Melayu dalam profesion perguruan.

Aminah dilaporkan berkata, UPSI melahirkan kira-kira 3,500 bakal guru sekolah menengah setiap tahun, bagaimanapun hanya satu perlima adalah bukan Melayu dan 23 peratus daripadanya lelaki.

Muhyiddin berkata, keperluan kepada guru lelaki di negara ini adalah tinggi, terutama dalam menempatkan guru ke lokasi terpencil atau pedalaman.

"Kita tidak boleh hantar guru perempuan ke pedalaman kerana ia sukar. Saya tidak kata guru perempuan tidak layak kerana mereka lakukan tugas dengan baik selama ini," katanya.

Mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), Muhyiddin berkata, beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat bagi menerangkan kedudukan terkini isu berkenaan.

Beliau berkata, ia meliputi kedudukan dan pendirian kementerian berhubung isu berkenaan, selain hasil kajian terkini pihaknya berdasarkan maklum balas diterima.

"Saya sedar ada yang menyokong dan ada yang tidak. Bagaimanapun, kami di kementerian mempunyai pandangan tersendiri mengenainya.

"PPSMI sekarang ini bukan soal untuk diteruskan atau tidak, tetapi berkisar isu sampingan lain seperti tenaga pengajar untuk mengendalikannya.

"Saya percaya ada jalan untuk laksanakan dan saya akan bentangkan isu berkenaan kepada Perdana Menteri secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, katanya, beliau mendapat banyak maklumat mengenai cadangan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Semua orang setuju Bahasa Inggeris penting.... tiada siapa pun yang mengatakan Bahasa Inggeris tidak perlu dan maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kementerian tidak akan membuat keputusan terburu-buru mengenai pelaksanaannya dan masih mempelawa orang ramai memberi pandangan berhubung syarat mewajibkan calon lulus dalam mata pelajaran itu.

Berita Harian Online: 12 Jun 2009

Tiada ulasan: