Oleh Zainor Said
zaino@bharian.com.my
SISTEM pendidikan negara kini berdepan dengan satu lagi perubahan besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan pelajar hari ini. Perbualan dan perbincangan mengenainya semakin panas dan rancak diperkatakan.
Berdasarkan kepada respons positif lebih daripada 80 peratus maklum balas yang diterima Kementerian Pelajaran, cadangan mewajibkan lulus subjek Bahasa Inggeris di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah hampir pasti akan dilaksanakan.
Tinggal lagi Kementerian Pelajaran tidak mahu terburu-buru melaksanakannya dan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak kemelut serta polemik berpanjangan seperti apa yang berlaku terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang mencetuskan bantahan kuat daripada pelbagai pihak.
Maklum balas terhadap cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu cukup berbeza berbanding reaksi orang ramai terhadap dasar PPSMI. Setakat ini, laporan menerusi media massa sebahagian besarnya melaporkan maklum balas positif dan belum kedengaran mana-mana pihak yang menyuarakan bantahan secara terbuka terhadap cadangan itu.
Kita yakin banyak pihak yang menyokong dan bersetuju dengan cadangan Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran. Malah sejak awal dasar PPSMI dilaksanakan pada 2003, ketika Kementerian Pelajaran diterajui Datuk Seri Hishammudin Hussien, pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan mereka, bahawa dasar PPSMI bukan pendekatan terbaik untuk pelajar menguasai bahasa Inggeris.
Mereka mengemukakan pandangan yang berasaskan kajian konkrit bahawa untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, sesuatu harus dilakukan terhadap pengajaran dan pembelajaran berkaitan subjek Bahasa Inggeris itu sendiri, bukannya menerusi subjek lain.
Walaupun pada dasarnya sebahagian besar rakyat tidak membantah dengan cadangan itu, sekali gus membuktikan mereka mengakui pentingnya bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran wajar menjalankan kajian lebih terperinci, bukan sekadar mengguna pakai pendapat dan pandangan orang ramai yang dilontarkan menerusi laman web.
Bagaimanapun kita yakin, tentu ada segelintir masyarakat yang masih sangsi dan bimbang dengan cadangan itu, terutama golongan yang selama ini mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris termasuk dalam kalangan pelajar serta ibu bapa. Kita harap apabila cadangan ini menjadi kenyataan, sikap pelajar serta ibu bapa berkenaan harus berubah bagi memastikan mereka tidak tercicir.
Banyak aspek harus diperhalusi sekiranya Kementerian Pelajaran benar-benar serius untuk melaksanakannya. Antara paling penting yang perlu diberi perhatian kementerian ialah menetapkan tempoh masa paling sesuai untuk melaksanakan dasar baru itu.
Tempoh masa itu penting agar pelajar kumpulan pertama dapat membuat persediaan secukupnya sejak awal untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris sebelum mereka menduduki peperiksaan SPM yang mewajibkan lulus bahasa Inggeris.
Mengambil kira bilangan pelajar yang gagal bahasa Inggeris setiap tahun iaitu di sekitar 130,000 calon, tempoh lima tahun diberikan kepada pelajar memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dirasakan wajar. Ini bermakna pelajar kumpulan pertama yang bakal terbabit dengan perubahan baru ini adalah mereka yang memasuki tingkatan satu tahun depan dan bakal menduduki SPM pada tahun 2014.
Dalam menentukan tempoh pelaksanaan cadangan itu, Kementerian Pelajaran juga harus mengambil kira kemampuannya dalam menyediakan guru yang benar-benar mantap serta memperkenalkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih menarik dan berkesan supaya apa yang diajar difahami pelajar secara maksimum.
Kita sering mendengar keluhan pihak pengurusan di kebanyakan sekolah yang masih berdepan dengan masalah kaedah P&P yang lapuk serta kekurangan guru bahasa Inggeris menyebabkan mereka terpaksa bertindak mengambil guru secara ‘bidan terjun’ atau’ tangkap muat’ untuk mengajar subjek berkenaan, walaupun mereka itu bukan mengikuti latihan perguruan dalam bidang atau opsyen bahasa Inggeris.
Keadaan itu menyebabkan proses P&P gagal berjalan secara berkesan dan tidak mencapai matlamat untuk melahirkan pelajar mahir bahasa Inggeris. Adalah sukar untuk mencapai matlamat, jika terdapat sesetengah anak murid sendiri menegur kesilapan dan sebutan guru yang mengajar di dalam kelas.
Kita harap jika Kementerian Pelajaran benar-benar serius untuk melahirkan generasi yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan dapat bersaing sehingga ke arena antarabangsa, penyediaan guru yang mantap kemampuan mereka dalam bahasa Inggeris harus disediakan terlebih dulu.
Era ‘bidan terjun’ dan ‘tangkap muat’ guru bahasa Inggeris harus ditamatkan serta-merta dan guru yang mengambil opsyen bahasa Inggeris harus bersedia untuk berkhidmat di sekolah-sekolah pedalaman kerana di sinilah khidmat mereka amat diperlukan.
Mereka tidak harus rasa tertekan atau takut untuk memikul tanggungjawab yang mencabar ini kerana berjaya atau gagalnya dasar yang mahu dibawa oleh kerajaan banyak bergantung kepada komitmen guru.
Dalam melakukan sebarang perubahan sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran harus meletakkan kepentingan pelajar luar bandar pada kedudukan paling atas. Dengan prasarana serba kekurangan, pendedahan yang terbatas serta bahan bacaan begitu terhad, syarat wajib lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM mungkin menjadi halangan kejayaan pelajar di luar bandar, jika pelaksanaannya gagal mencapai matlamat.
Berita Harian Online: 19 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan