Rabu, 24 Jun 2009

Hanya menteri boleh tutup


Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Timah yang hanya mempunyai seorang murid dan tiga guru di Teluk Intan, Perak. (Gambar kecil ialah K. Humah)


IPOH 23 Jun - Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah akan beroperasi seperti biasa selagi ada murid walaupun hanya seorang.

Pengarah Pelajaran Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar memberitahu, itu merupakan peraturan yang diguna pakai selama ini.

Beliau berkata, hanya Menteri Pelajaran mempunyai kuasa menentukan sama ada sesebuah sekolah harus dibuka atau ditutup.

''Peraturan yang ada menyebut, selagi ada murid, operasi sekolah akan dikekalkan. Pihak jabatan tiada kuasa menutup sekolah, hanya Menteri Pelajaran berkuasa tutup atau buka sekolah,'' katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah seorang murid yang bosan dan sunyi kerana terpaksa belajar seorang diri berikutan dia satu-satunya murid di SRJK Tamil Ladang Sungai Timah dekat Teluk Intan sejak enam bulan lalu.

Ketiadaan rakan untuk diajak berbual, apatah lagi bermain permainan yang disukai pada waktu lapang, menyebabkan K. Humah, 12, menjadi seorang murid pendiam.

Sekolah itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit milik MHC Plantation Berhad, kira-kira 40 kilometer dari sini melalui Jalan Teluk Intan-Lumut.

Selain Guru Besar, M. Paramiswary, sekolah itu dibantu seorang guru akademik, M. Jayakumar dan seorang guru sandaran, V. Moganathaf, 19.

Apa yang menarik, sekolah berkenaan mempunyai kelengkapan setanding sekolah lain seperti komputer, projektor, perpustakaan, bilik permainan dalaman, televisyen 42 inci (106.7 sentimeter), kantin dan padang mini.

Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, beliau percaya ada usaha dilakukan untuk memujuk murid berkenaan berpindah ke sekolah lain demi masa depannya.

''Tetapi mungkin atas faktor-faktor tertentu ibu bapa murid tersebut, menyebabkan mereka mahu anak mereka kekal di sekolah sedia ada,'' ujarnya.

Jelas beliau, sebelum ini, pihaknya pernah berdepan senario sama di sekolah lain tetapi dapat diselesaikan dengan baik apabila ibu bapa murid terbabit bersedia memindahkan anak mereka ke sekolah berhampiran.

''Dalam kes-kes seperti ini, kita tidak akan mendesak tetapi terpulang kepada murid dan ibu bapa sendiri untuk membuat keputusan mereka,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

Tiada ulasan: