PUTRAJAYA 17 Jun - Dua sekolah dari Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai dan Sekolah Rendah Bakelalan dinobatkan sebagai pemenang bersama Anugerah Amalan Terbaik Pelajaran Komanwel 2009 sempena Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (CCM-17).
SK Lubai dipilih berdasarkan pembabitan sepenuhnya masyarakat sekeliling dalam program pembangunan pendidikan sekolah berkenaan.
Sementara itu, pemilihan Sekolah Rendah Bakelalan pula kerana kegigihan masyarakat sekitar dalam memastikan mutu pendidikan walaupun berdepan dengan masalah kemudahan asas berikutan terletak jauh di pedalaman.
Kementerian Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran Botswana pula diumumkan sebagai pemenang kedua anugerah itu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung Komanwel, Ransford Smith pada satu majlis makan malam yang diadakan di sini malam semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyampaikan Anugerah Khas yang dimenangi oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; Kementerian Pendidikan, Kebudayaan dan Sumber Manusia Mauritius serta Idara-e-Taleem-o-Aagahi (ITA) Public Trust, Pakistan.
Anugerah lain adalah Anugerah Steve Sinnot yang dimenangi oleh British Council, United Kingdom.
Utusan Malaysia Online: 18 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan