Khamis, 11 Jun 2009

Keputusan hadkan mata pelajaran SPM akan diumum

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dijangka akan mengumumkan keputusan mengenai langkah mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah meneliti laporan lengkap berhubung perkara itu.

“Laporan mengenai perkara itu, termasuk analisis berhubung pandangan orang ramai akan dihantar kepada Muhyiddin sedikit masa lagi. Biarlah keputusannya itu diumumkan oleh beliau (Muhyiddin) sendiri.

“Saya berharap semua pihak dapat bersabar menunggu keputusannya. Ketika ini semakan peringkat akhir laporan berkenaan sedang dibuat sebelum diserahkan kepada menteri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, mulai tahun depan calon SPM hanya dibenar mengambil maksimum 10 mata pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, kementerian masih membuka ruang perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan terutama membabitkan penentuan mata pelajaran teras dan elektif yang bakal diambil pelajar SPM untuk semua aliran pendidikan.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, isu berkenaan menarik perhatian pelajar Malaysia di luar negara apabila mereka turut menghantar pandangan menerusi emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada beliau.

Katanya, pandangan berkenaan adalah daripada lebih 300 emel dan 20 SMS yang diterima beliau sejak 2 Jun lalu dari pelbagai lapisan masyarakat yang memberikan pelbagai reaksi berhubung kewajaran langkah kerajaan itu.

Ditanya jumlah pandangan yang diterima kementerian mengenai cadangan calon SPM diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh, beliau berkata pihaknya sudah menerima banyak pandangan berhubung perkara itu.

Berita Harian Online: 11 Jun 2009

Tiada ulasan: