Rabu, 24 Jun 2009

Bukan semua sekolah ditutup

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

Kementerian Kesihatan pantau keadaan elak H1N1 merebak: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang menutup semua sekolah di Lembah Klang atau menguatkuasakan sekatan pergerakan pada masa ini walaupun berlaku pertambahan kes Influenza A (H1N1), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil meminta orang ramai tidak cemas, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sedang memantau keadaan itu dan mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang penularan dan memberi jaminan langkah diambil kerajaan sekarang berkesan.

"Tidak, tidak buat masa ini (menutup sekolah di Lembah Klang)," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis makan tengah hari sempena Persidangan Ketujuh Ketua Perwakilan Luar di sini, semalam.

Ditanya sama ada kerajaan akan menguatkuasakan sekatan pergerakan berikutan pertambahan kes berkenaan, Muhyiddin berkata: "Kita akan memantau keadaan, saya tidak mahu membuat jangkaan kecuali sampai masa yang kita perlu melakukannya kerana tidak mahu orang ramai cemas jika tindakan dilakukan tanpa pertimbangan rapi."

Beliau berkata, pada masa ini, Kementerian Kesihatan mengambil tindakan menutup sekolah kerana kawasan berkenaan dikesan ada kes H1N1.

Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan akan mengambil dua tindakan berkenaan kerana bilangan kes penyakit itu di Lembah Klang meningkat kepada 68 kes semalam, dengan empat buah sekolah diarah ditutup selama seminggu.

Ditanya sama ada Malaysia akan bersepakat dengan negara Asean untuk meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan arahan saringan bagi mereka yang keluar dari negara yang ada kes, beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan oleh badan berkenaan.

"Sesetengah negara setuju dan banyak anggota rasakan ia tidak perlu. Sehingga ada permuafakatan mengenai perkara itu, kita akan melaksanakan kaedah sekarang," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, WHO juga mempunyai forum sendiri untuk menentukan sama ada nasihat perjalanan perlu dikeluarkan atau sebaliknya berikutan penularan itu.

Beliau juga meminta Kementerian Kesihatan mengadakan perjumpaan dengan guru dan ibu bapa bagi menjelaskan mengenai sebab sekolah ditutup agar mereka dapat membantu menangani serangan penyakit itu.

Ditanya mengenai laporan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sungai Timah, Teluk Intan, Perak yang hanya mempunyai seorang murid, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan tidak akan menutup sekolah berkenaan.

"Itu dah ada dasar, maknanya, dari sudut kita kalau mereka masih nak belajar, walau seorang murid (dengan) 10 guru, persefahaman yang kita ada ialah kita kekalkan (sekolah) itu.

"Tapi kita nasihat kepada pentadbir sekolah dan pihak yang berkepentingan kalau boleh mereka masuk ke sekolah lain, tak jadi masalah untuk menguruskan sekolah itu dengan kos yang tinggi," katanya yang menyerahkan kepada budi bicara pentadbiran sekolah untuk mengambil keputusan.

Berita Harian Online: 24 Jun 2009

Tiada ulasan: