Khamis, 11 Jun 2009

Nilai BI pada setiap peringkat pembelajaran

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pelajar bukan sekadar perlu diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah perlu lulus subjek itu dalam semua peringkat sebelum memasuki sekolah menengah.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob berkata, pelajar sepatutnya dinilai penguasaan bahasa Inggeris masing-masing pada setiap peringkat bagi memastikan mereka benar-benar memahami bahasa itu sebelum memasuki sekolah menengah.

Katanya, sekiranya setelah mempelajari BI selama enam tahun di sekolah rendah tetapi masih gagal, sudah tentu ada ruang yang perlu diperbaiki.

"Bagi pelajar yang gagal, kelas khas perlu disediakan bagi membolehkan mereka menguasai sekurang-kurangnya asas bahasa Inggeris di semua tahap pembelajaran," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat pada majlis dialog UPSI Bersama Media di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran yang mencadangkan untuk mewajibkan calon-calon lulus BI dalam SPM.

Sambil menyokong cadangan itu, Aminah berpendapat, bahasa Inggeris sepatutnya tidak dijadikan sebagai bahasa kedua sebaliknya sama penting dengan bahasa Melayu kerana rakyat Malaysia wajar menguasai kedua-dua bahasa tersebut.

"Kita mesti menyayangi bahasa Melayu sebagai identiti kita dan pada masa yang sama tidak boleh ketinggalan untuk menguasai bahasa Inggeris," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, bagi menangani masalah tempat tinggal untuk kemasukan pelajar UPSI akhir Jun ini, Aminah memberitahu, UPSI telah menyewa bangunan pejabat Proton City Development Corporation bagi menempatkan 2,000 pelajar baru.

Beliau menjelaskan, 14 bilik dengan setiap satu boleh memuatkan 60 hingga 100 pelajar di samping lima bilik untuk pensyarah disediakan untuk kemudahan warga UPSI.

Utusan Malaysia Online: 11 Jun 2009

Tiada ulasan: