SAYA sedikit pun tidak berasa hairan apabila banyak pihak terlalu asyik menyalahkan pelajar KPLI kurang latihan. Ada juga yang biasa mengutuk dan menghina pelajar atau lepasan program KPLI sama ada ketika di Institut Pendidikan Guru atau di sekolah. Kutukan ini berlaku terang-terangan hanya kerana ada segelintir guru lepasan KPLI yang bermasalah, sedangkan puluhan ribu guru KPLI lain banyak menabur jasa dan bakti dalam profesion perguruan sekian lama tidak ada pula disebut.
Dari apa yang saya dengar dan alami sendiri selaku lepasan KPLI 2008 di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) di sempadan Terengganu-Kelantan, terlalu ramai 'pendengki' yang memandang buruk program KPLI ini. Saya sebut 'pendengki' kerana punca utama timbulnya pelbagai komen dan desakan supaya KPLI dimansuhkan atau diubah ini adalah kerana prospek kerjaya lepasan KPLI yang sangat pantas. Kami hanya perlu belajar setahun di IPG dan gred DG41 sudah menanti. Apatah lagi sekarang lepasan KPLI ditempatkan di sekolah rendah yang rata-rata guru lama masih lagi berada pada gred DG29 dan DG32.
Situasi inilah yang menyebabkan kebanyakan guru lama, guru besar dan pentadbir sekolah serta pensyarah IPG sendiri sibuk mencari kesalahan lepasan KPLI. Kemudian mereka sibuk menghebahkan keburukan guru KPLI ini dengan harapan guru ini disekat peluang dalam profesion perguruan. Inilah realiti dunia perguruan. Lebih teruk apabila kebanyakan pensyarah IPG sendiri menyuntik pula fahaman bahawa program KPLI ini buruk dan bermasalah ke dalam otak pelajar program perguruan lain di IPG. Cuba anda bayangkan, seorang pelajar Program Perguruan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) lepasan SPM berumur 19 tahun bergelar YDP Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG begitu berani berucap memaki-hamun dan menghina pelajar baru KPLI dalam Minggu Pengurusan/Orientasi. Ini semua kerana mereka diterapkan fahaman buruk mengenai KPLI oleh pensyarah sendiri.
Sepanjang saya berada di sekolah, memang ada guru bermasalah, tetapi bilangan guru KPLI bermasalah amat sedikit. Jika KPLI di IPG ini dipersoalkan, bagaimana pula dengan guru lepasan IPTA yang tidak tertakluk kepada sukatan Bahagian Pendidikan Guru (BPG)? Kenapa lepasan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) yang juga tempohnya setahun tidak dipertikai? Apa lagi kalau tidak kerana dengki.
Lebih penting sebenarnya adalah cara pensyarah menyampaikan sukatan dan bimbingan dengan berkesan kepada pelajar KPLI. Ini tidak, pensyarah selalu tidak masuk kelas KPLI. Prasarana di IPG pun patut dipertingkatkan. Contohnya, Perpustakaan IPG yang kini tak ubah macam perpustakaan sekolah. Menyalahkan dan mengubah tempoh KPLI bukan penyelesaian terbaik. Jika pensyarah IPG atau guru lama tak ubah sikap dan prasarana IPG berada pada tahap kelas ketiga,buat program 180 bulan pun tidak ada gunanya.
TESLIAN KPLI 2008,
Jeli, Kelantan.
Berita Harian Online: 17 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan