Rabu, 24 Jun 2009

Dua sekolah lagi ditutup


Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama Petaling Jaya memakai topeng muka berikutan salah seorang pelajar sekolah tersebut dijangkiti virus H1N1.


KUALA LUMPUR 23 Jun - Dua buah sekolah lagi ditutup hari ini menjadikan empat kesemuanya dengan jumlah penghidap selesema babi atau influenza A (H1N1) meningkat kepada 68 kes.

Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras ditutup sehingga Sabtu ini manakala Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 di Petaling Jaya ditutup selama seminggu.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2 di Petaling Jaya sudah diarah ditutup selama seminggu mulai 19 Jun lalu sehingga 26 Jun ini, kerana berlaku penularan tempatan.

Tiga sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan SM Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu pemberita di Parlimen, Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras diarah tutup selepas dua pelajarnya didapati positif H1N1.

"Sehingga tengah hari ini sebanyak 10 lagi kes baru dilaporkan termasuk dua kes di sekolah berkenaan yang menjadikan jumlah keseluruhan H1N1 di negara ini kepada 68 kes baru.

"Daripada 10 kes baru itu, dua penularan tempatan dan bakinya kes import di mana pesakitnya dijangkiti wabak itu di Melbourne, Australia sebelum pulang ke tanah air," katanya.

Beliau memberi jaminan yang pihaknya meneliti perkembangan wabak itu dan yakin dapat menghalangnya daripada merebak kerana telah mengenal pasti dan mengesan perhubungan pesakit dengan orang lain.

Di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican memberitahu kes ke-62, seorang pelajar lelaki warga Malaysia berumur 16 tahun adalah kontak kepada kes ke-42 iaitu pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka.

"Dia mengalami demam, batuk dan sakit tekak Sabtu lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada keesokan harinya dan disahkan positif semalam.

"Pelajar lelaki itu merupakan kes jangkitan tempatan kelapan dan sehubungan itu, telah terdapat dua kes positif di kalangan pelajar di sekolah tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

n Daripada 68 jumlah kes influenza A sehingga kini, 59 kes adalah import manakala sembilan kes penularan tempatan.

n Daripada lapan kes import hari ini - lima membabitkan rakyat Malaysia dan tiga warga asing masing-masing dari Yemen, Switzerland dan Itali.

n Justeru, mereka yang berkunjung ke negara-negara terjejas wabak H1N1 seperti Filipina, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat akan dinasihatkan mengambil tindakan kuarantin sendiri di rumah selama seminggu.

Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

Tiada ulasan: