Khamis, 25 Jun 2009

Tutup sekolah langkah akhir

KUALA LUMPUR 24 Jun - Tindakan menutup sekolah bagi menyekat penyebaran jangkitan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) hanya akan diambil sekiranya situasi benar-benar mendesak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebelum tindakan itu diambil, pihak kerajaan terlebih dahulu akan menggunakan kaedah serta langkah-langkah lain bagi mengekang penularan virus tersebut.

''Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan itu (tutup sekolah) sebaliknya akan mengambil langkah lain jika kedudukan penyebaran penyakit itu masih boleh dikawal.

''Tindakan menutup sekolah adalah antara langkah terakhir yang akan diambil. Itu pun selepas kerajaan mendapati langkah-langkah lain tidak mendatangkan kesan atau gagal menghalang penyebaran virus itu,'' katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan menutup dua buah sekolah lagi semalam dan menjadikan empat kesemuanya dengan jumlah H1N1 meningkat kepada 68 kes.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lain Najib berkata, isu hutang cukai lapangan terbang sebanyak RM65 juta dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kini dalam peringkat kajian dan pihak konsultan telah pun dilantik.

''Kita akan menyelesaikan masalah ini dan kita akan membuat keputusan berdasarkan prinsip dan hasil kajian yang dibuat,'' ujarnya.

Apabila ditanya mengenai desas-desus berkaitan beberapa jawatan di Petronas pula, beliau berkata, itu bukan satu isu yang perlu diperbesarkan.

Desas-desus sejak beberapa bulan lepas menyatakan bahawa bekas Pegawai Khas Najib ketika beliau Timbalan Perdana Menteri, Omar Mustapha Ong akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah, manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dilantik sebagai Pengerusi Petronas bagi menggantikan Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2009

Tiada ulasan: