Rabu, 24 Jun 2009

Kementerian Kesihatan cadang periksa suhu badan pelajar sekolah

PUTRAJAYA 23 Jun - Kementerian Kesihatan akan mencadangkan pelaksanaan pemeriksaan suhu badan setiap pelajar sekolah bagi membendung penularan tempatan influenza A (H1N1) dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bagi Menangani Penularan H1N1 esok.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, jika cadangan itu dipersetujui, pihaknya akan membekalkan peralatan jangka suhu kepada setiap guru bagi memeriksa suhu badan pelajar.

''Kita akan bekalkan peralatan yang mudah digunakan bagi mengesan sama ada pelajar berkenaan demam atau tidak dan semua guru yang terlibat akan dilatih menggunakan peralatan itu.

''Ia adalah satu cadangan yang perlu diperhalusi jawatankuasa teknikal itu bagi mengelakkan jangkitan H1N1 tempatan sukar dikawal di masa depan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai situasi semasa wabak H1N1 dan tindakan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Sehingga pukul 9 pagi ini, terdapat 10 kes H1N1 dikesan melibatkan lapan kes import dan dua jangkitan tempatan.

Jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 68 kes iaitu 59 kes import dan sembilan kes jangkitan tempatan.

Mohd. Ismail berkata, dalam mesyuarat itu, pihaknya akan turut menyentuh soal kaedah penerimaan borang pengisytiharan kesihatan di semua pintu masuk negara ini yang dikatakan tidak begitu berkesan.

''Kita akan bincang isu itu sebab ada rungutan orang ramai dalam akhbar tempatan menyatakan pegawai kementerian tidak mengambil atau meneliti borang yang diserahkan kepada mereka.

''Jika ada kelemahan, kita mungkin akan menukar kaedah sedia ada bagi memastikan penularan H1N1 di negara ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,'' katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pelajaran bersetuju melarang pelajarnya yang baru pulang dari Manila, London, Australia dan Amerika Syarikat, menghadiri sesi persekolahan di sekolah masing-masing.

Beliau berkata, larangan itu dibuat kerana sebahagian besar kes H1N1 yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini melibatkan tempat terbabit.

''Kita minta mereka supaya tidak ke mana-mana selama tujuh hari,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

Tiada ulasan: