Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
ZAINUDDIN sambil disaksikan Abd Hamid (kiri) menyampaikan sijil kepada peserta Seminar Skor A UPSR di SMT Bestari Jaya, Kuala Selangor, kelmarin. |
CALON Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu lebih berdisiplin dalam meningkatkan tumpuan menduduki peperiksaan berikutan ini adalah tahun penentu kepada kejayaan akan datang.
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Selangor, Selangor, Abdul Hamid Takat, berkata murid perlu berdisiplin dan bijak membahagi masa belajar serta menguruskan kegiatan harian, selain mengikuti kelas tambahan di sekolah.
Beliau berkata, tidak dinafikan kegagalan menguruskan masa menyebabkan mereka yang berjaya dalam UPSR dan ditawarkan ke sekolah asrama penuh gagal menyesuaikan diri.
Aduan diterima kata beliau, menyatakan pelajar memohon semula untuk ke sekolah menengah harian sedangkan mereka berjaya mendapat tempat di asrama penuh.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati mereka memberikan pelbagai alasan mahu ke sekolah menengah harian termasuk mendakwa dibuli sedangkan keadaan sebenar adalah gagal mendisiplinkan diri kerana sudah terbiasa dengan kesenangan di rumah.
“Berkongsi dengan pengalaman yang ada, saya mengingatkan calon UPSR perlu lebih bersedia berhadapan situasi sebenar proses belajar yang berkesan, selain berdisiplin dan tekun.
“Begitu juga dengan proses mendapatkan maklumat tambahan daripada guru, mereka tidak boleh malu atau malas bertanya dan memperbaiki kelemahan,” katanya berucap pada Seminar Skor A UPSR anjuran Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan akhbar sisipan Didik terbitan Berita Harian di Sekolah Menengah Teknik (SMT), Bestari Jaya, Kuala Selangor, Ahad lalu.
Hadir sama Ketua Wilayah Selangor Bank Rakyat, Zainuddin Yaacob; Pengurus Operasi Yayasan Bank Rakyat, Rapidah Yaakop; Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kuala Selangor, Alias Mohamad dan Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said.
Seramai 250 peserta dari sekitar Kuala Selangor, Ijok, Bestari Jaya dan Klang menghadiri seminar sehari bertujuan mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan September depan.
Berita Harian Online: 23 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan