KUALA LUMPUR: Keputusan mengehadkan bilangan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 subjek disifatkan sebagai cadangan baik yang dapat mengurangkan beban pelajar selain memantapkan lagi kecemerlangan dalam subjek yang diambil.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata antaranya membolehkan pelajar menikmati zaman remaja mereka dan tidak tumpukan kepada akademik semata-mata.
“Kalau jumlah mata pelajaran terlalu banyak, pelajar bukan saja perlu menghabiskan lebih masa untuk belajar, sebaliknya ada yang mungkin terpaksa mendapatkan tuisyen bagi subjek tertentu.
“Selain tekanan fizikal dan emosi pelajar, ibu bapa juga mungkin menghadapi beban kewangan, terutama jika mempunyai ramai anak masih bersekolah.
“Bagaimanapun, saya rasakan had 12 mata pelajaran lebih sesuai dan apa saja standard yang ditetapkan wajib diterima pakai semua pelajar,” katanya.
Pengerusi Pergerakan Akademik Malaysia, Dr Wan Abdul Manan Wan Muda, berkata had 10 mata pelajaran bagi SPM sudah memadai.
“SPM menjadi pengukur keupayaan pelajar untuk memasuki peringkat akademik lebih tinggi dan 10 mata pelajaran sudah cukup untuk penilaian,” katanya.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula mencadangkan kerajaan membenarkan pelajar India mengambil sehingga 11 mata pelajaran bagi memberi peluang kepada mereka mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil atau Kesusasteraan Tamil.
“MIC menerima banyak aduan ibu bapa dan pelajar berhubung perkara ini. Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.
Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Prof Datuk Dr T Marimuthu, berkata pelajar yang mengambil terlalu banyak mata pelajaran hanya mampu mengagihkan masa yang terhad untuk setiap subjek dan tahap kefahamannya juga tidak mendalam.
“Justeru, keputusan mengehadkan pengambilan mata pelajaran harus memberi penekanan kepada subjek teras yang menjadi asas pendidikan lanjutan dan bidang kerjaya yang mendapat permintaan tinggi dalam ekonomi semasa,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berpendapat kebebasan pelajar untuk memilih jumlah mata pelajaran tidak wajar dikekang kerana ia mencabuli hak seseorang mendapatkan ilmu atau meningkatkan kemahiran.
Berita Harian Online: 19 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan