Sabtu, 27 Jun 2009

SJKC Jalan Davidson dibuka semula hari ini selepas ditutup seminggu


PEKERJA menggunakan penutup hidung dan mulut semasa membersihkan bilik darjah SJKC Jalan Davidson yang akan dibuka untuk persekolahan selepas ditutup selama seminggu kerana penularan influenza A di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jun - Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson yang ditutup seminggu kerana penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), mula dibersihkan hari ini untuk membolehkan sesi persekolahan dibuka semula esok.

Selain sesi persekolahan, urusan pejabat di sekolah berkenaan juga akan beroperasi semula seperti biasa mulai esok.

Esok merupakan hari persekolahan di sekolah tersebut menggantikan cuti peristiwa sempena Hari Raya Aidilfitri, September ini.

Tinjauan Utusan Malaysia ke sekolah itu hari ini mendapati, pihak sekolah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah membabitkan kira-kira 40 guru dan kakitangan.

SJKC Jalan Davidson menjadi premis pertama di negara ini yang diarah ditutup selama seminggu ekoran wujudnya penularan H1N1 di kalangan pelajarnya.

Setakat ini empat pelajar sekolah itu disahkan dijangkiti H1N1, tiga daripadanya sudah bebas dari tempoh kuarantin manakala seorang lagi masih dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Guru Besar SJKC Jalan Davidson, Tan Chung Leong ketika ditemui berkata, para pelajar boleh datang ke sekolah seperti biasa esok tanpa sebarang perasaan takut.

Menurutnya, pelbagai langkah telah diambil untuk mengelakkan penularan H1N1 di kalangan pelajar.

Kata beliau, mulai esok pelajar akan dibekalkan dengan topeng muka dan mereka juga diwajibkan mencuci tangan mereka dengan bahan pencuci yang disediakan.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang menghantar anak-anak ke sekolah kerana kita sudah memastikan keadaan di sekolah adalah terkawal," katanya.

Tambah Chung Leong, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Jalan Davidson juga akan mengadakan ceramah bagi menerangkan kepada pelajar mengenai cara-cara mengelak dan mencegah daripada dijangkiti H1N1.

"Guru-guru juga akan bekerjasama dengan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk mengukur suhu badan pelajar pada setiap hari bagi memastikan pelajar bebas daripada gejala H1N1.

"Langkah ini akan dikekalkan sehingga keadaan virus H1N1 di sekolah terbabit terkawal," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2009

Tiada ulasan: