Isnin, 22 Jun 2009

100 pelajar, guru Selangor dikuarantin seminggu

SHAH ALAM 21 Jun – Seramai 100 rakan sekelas dua pelajar dan seorang murid yang disahkan dijangkiti selesema babi atau positif Influenza A (H1N1) di negeri ini dikuarantin di rumah selama seminggu mulai hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Zahri Aziz berkata, semua ibu bapa terbabit akan menerima surat arahan daripada Jabatan Kesihatan melalui Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di sekolah-sekolah terlibat pagi esok.

Pesakit merupakan pelajar perempuan SMK Seksyen 9 di sini dan seorang murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 2, Petaling Jaya.

Menurutnya, guru-guru yang mengajar di kelas murid terbabit juga dikuarantin bagi tempoh yang sama.

‘‘Setakat ini, kita tidak mengambil keputusan untuk menutup sekolah kecuali mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan supaya berbuat demikian,” katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan JPN negeri berhubung kes terbaru wabak itu yang turut melibatkan sekolah di Selangor.

Zahri berkata, tindakan tersebut juga diambil hasil perbincangan dengan pengetua dan guru besar yang terlibat dan mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan wabak itu menular.

‘‘Saya harap para pelajar dan ibu bapa tidak bimbang kecuali perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Beliau berkata, JPN negeri turut menubuhkan bilik gerakan dengan talian 03-55186500 bagi memantau perkembangan semasa penularan wabak itu.

Utusan Malaysia Online: 22 Jun 2009

Tiada ulasan: