Jumaat, 12 Jun 2009

Lulus BI: Kerajaan tidak terburu-buru

LANGKAWI 11 Jun - Kementerian Pelajaran tidak akan terburu-buru membuat keputusan mengenai cadangan menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian itu akan meneliti secara mendalam mengenai maklum balas yang diberikan pelbagai pihak berhubung cadangan berkenaan dan masih mempelawa orang ramai melontarkan pandangan mengenainya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan tersebut dikemukakannya kepada masyarakat untuk mendapatkan pandangan mereka.

"Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan pandangan mereka.

"Saya tidak terburu-buru dan masih memberi masa untuk mendapatkan pandangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Taman Geo Rimba Kilim di Ayer Hangat di sini hari ini.

Turut menemani Timbalan Perdana Menteri ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kalangan tokoh pendidik meminta kerajaan agar tidak terburu-buru dalam menentukan dasar pendidikan di samping menyelesaikan sesuatu isu satu per satu.

Rata-rata mereka berpendapat, cadangan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris dalam SPM itu perlu diperhalusi secara teliti selain dinilai dari pelbagai sudut.

Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini mempelawa orang ramai mengemukakan pandangan mengenai isu mewajibkan calon lulus Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM.

Mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Aminah Ayob yang melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan bakal guru di kalangan bukan Melayu dan lelaki di universiti itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran sedang mengambil langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut.

Tegasnya, dilema bilangan lelaki yang jauh ketinggalan berbanding wanita sememangnya menjadi tumpuan utama kementerian untuk menyelesaikannya.

Beliau berkata, kekurangan guru di kalangan golongan lelaki bukanlah kerana diskriminasi jantina sebaliknya merupakan situasi realiti pada masa kini.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai masalah itu dan antara pandangan dikemukakan adalah seperti mendapatkan insentif khas untuk menarik lebih ramai lelaki menceburi bidang perguruan.

"Kementerian akan mencari jalan lain untuk mengurangkan jurang itu walaupun ia mengambil masa yang lama," katanya.

Mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberikan taklimat mengenainya dalam tempoh terdekat.

Utusan Malaysia Online: 12 Jun 2009

Tiada ulasan: