Ahad, 28 Jun 2009

Utara: MCKK revolusi pendidikan Melayu

Oleh Ridzuan Yop
bminggu@bharian.com.my


SULTAN PERAK (kanan) diiringi Raja Dr Nazrin Shah meninjau pameran rancangan pembangunan pada Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah MCKK, di Kuala Kangsar, semalam.

Kurikulum bina daya intelek bekal pelajar pengetahuan hadapi dunia moden

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 1905 berjaya melakukan satu revolusi besar kepada kaedah pendidikan anak Melayu di negara ini.

Baginda bertitah, penubuhan MCKK penting kerana kurikulum pendidikan yang dirangka sebelum itu sekadar berupaya melahirkan petani, nelayan dan tukang kayu Melayu yang lebih baik daripada ayah mereka.

Melalui MCKK, titah baginda, kurikulum lama itu dirombak kepada kurikulum yang dapat membina daya intelek dan membekalkan anak Melayu dengan pengetahuan untuk menghadapi dunia moden.

"Idea menubuhkan MCKK adalah lahir daripada istana untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat. MCKK ditubuhkan hasil tuntutan Raja-Raja Melayu sebagai program yang dapat menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak Melayu yang sudah lama berada dalam ruang pemikiran Raja-Raja Melayu.

"Akhirnya melalui MCKK, lahirlah barisan inteligensia Melayu dalam pelbagai bidang, namun mereka tidak lupa kepada akar dan budaya bangsa," titah baginda ketika merasmikan Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah MCKK, di sini, semalam.

Turut hadir, Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohamad Zahir Abdul Khalid dan Pengetua MCKK, Mohd Rauhi Mohd Isa.

Pada majlis itu, baginda turut menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK, Iskandar Afiq Abd Nasir dan penerima anugerah Hassanal Bolkiah, Hazman Syamil Hassim atas kecemerlangan mereka.

Sultah Azlan Shah yang juga bekas pelajar MCKK, bertitah sempena sambutan 100 tahun penubuhannya, MCKK sudah dimasyhurkan sebagai Institusi Warisan Budaya dan Negara sebagai pengiktirafan negara dan dari Raja-Raja Melayu.

"Sebagai bekas pelajar MCKK, setiap kali beta berangkat ke kolej ini, ia adalah satu perjalanan melalui laluan peringatan yang penuh dengan kenangan manis," titah baginda sambil mengingatkan MCKK sebagai institusi pendidikan Melayu ulung, wajib meneruskan tradisi kecemerlangannya.

Titah baginda, usaha penambahbaikan kolej itu juga perlu terus dirintis supaya ia kekal unggul dan dihormati, manakala pelajarnya hendaklah menjadi penggerak utama mencipta kejayaan dan kecemerlangan serta terus menyalakan obor kegemilangan sepanjang masa.

Berita Harian Online: 28 Jun 2009

Tiada ulasan: