Ahad, 21 Jun 2009

Jaga imej perguruan - Raja Muda

KANGAR 20 Jun - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) menggesa para guru mengelakkan diri daripada terbabit dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan imej serta reputasi profesion perguruan.

Baginda bertitah, pembabitan guru dalam kegiatan yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara bukan sahaja merosakkan masa depan dan kerjaya mereka sendiri malah turut menjejaskan harapan negara.

"Kegiatan termasuk yang membabitkan pengedaran dan penagihan dadah, demonstrasi jalanan dan politik murahan perlu dijauhi sama sekali," titah baginda sempena perasmian Sambutan Hari Guru peringkat negeri Perlis 2009 di sini hari ini.

"Sebagai guru, anda semua patut memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bidang tugas masing-masing iaitu mendidik anak bangsa menjadi warga yang progresif, inovatif dan cintakan negara," titahnya.

Baginda juga menyokong usaha kerajaan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris melalui cadangan syarat wajib lulus bahasa itu pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, baginda juga turut menyokong langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan mata pelajar sejarah di peringkat sekolah rendah yang dianggap selaras usaha mewujudkan semangat integrasi nasional di peringkat akar umbi.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khaleel, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 21 Jun 2009

Tiada ulasan: