Khamis, 11 Jun 2009

PPSMI wajib dimansuh

KUALA LUMPUR 10 Jun - Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajib dimansuhkan mengikut Islam kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada anak bangsa.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Samsuddin berkata, lebih 800 ulama di negara ini bersetuju bahawa dasar itu wajib dihapuskan secepat mungkin berdasarkan nas-nas naqli serta dalil-dalil agama.

Jelasnya, kanak-kanak golongan miskin yang berada di luar bandar kebanyakannya tidak mampu menguasai bahasa Inggeris bagi memahami ilmu sains dan matematik.

"Itu jelas satu bentuk kemudaratan. Berdasarkan nas-nas naqli, dinyatakan bahawa sesuatu yang mudarat dan boleh membawa kemudaratan adalah wajib dihapuskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai penyerahan memorandum 'Muafakat Ulama Mansuhkan PPSMI' kepada Majlis Raja-Raja Melayu melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.

Memorandum setebal lima muka surat itu mengandungi 11 tuntutan yang didakwa diperakui lebih 40 persatuan ulama dan disokong oleh beberapa persatuan lain.

Turut menyertai rombongan itu adalah Presiden Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid serta Timbalan Pengerusi Gerakan Memansuhkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP), Prof, Shaharir Mohamad Zain.

Antara tuntutan yang terkandung dalam memorandum itu adalah:

n Menolak pelaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.

n Mendesak agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk menggalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara.

n Menegaskan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijadikan asas bagi meneruskan atau memberhentikan pelaksanaan PPSMI.

Utusan Malaysia Online: 11 Jun 2009

Tiada ulasan: