Khamis, 18 Jun 2009

Guru KPLI sekolah rendah sering 'dihentam' pendidik senior

SAYA menyokong pendapat TESLIAN KPLI 2008 sebelum ini. Ramai pihak menyalahkan guru KPLI dengan alasan kurang latihan, tidak berdisiplin, tiada komitmen dan sebagainya. Mungkin ada kes sebegini tetapi bukan berlaku di kalangan guru KPLI saja. Guru lepasan maktab juga mempunyai masalah sama tetapi tidak diperbesarkan dengan alasan mereka bukan lepasan ijazah.

Dari pemerhatian saya, masalah guru KPLI ini hanya banyak dilaporkan di sekolah rendah. Amat jarang masalah ini kedengaran di sekolah menengah. Mungkin faktor guru di sekolah menengah ini kebanyakannya berkelulusan ijazah, maka jurang perbezaannya amat kecil. Jurang perbezaan ini dijadikan alasan untuk 'menghentam' guru KPLI.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan beberapa rakan ketika mula mendaftarkan diri di buah sekolah di daerah ini. Semua kerja sebelum ini dilakukan guru senior lain diberikan terus kepada kami. Sehinggakan kursus sepatutnya dihadiri mereka juga diwakilkan kepada kami dengan alasan gaji kami besar, maka mesti buat kerja lebih. Apabila kami mengeluh atau menolak, kami dilabelkan sebagai guru bermasalah. Semua masalah membabitkan sekolah diletakkan di atas tanggungjawab kami. Perkataan sering dilabelkan ialah 'gaji besar', 'cikgu grab duit (graduate)' dan lain-lain. Tidakkah ini menjadikan kami mangsa diskriminasi? Kadangkala masalah ini hanya akan membuatkan kami patah semangat.


Tidak dinafikan ada antara kami menjadikan opsyen perguruan ini sebagai pilihan terakhir sebagai kerjaya tetapi kenyataannya ada juga guru lepasan maktab juga berbuat demikian. Ada segelintir guru KPLI ini sanggup meninggalkan kerjaya lebih gah untuk menjadi guru. Ada yang meninggalkan kerjaya sebagai seorang jurutera dengan tekad ingin melahirkan 100 lagi jurutera lebih baik daripadanya.

Kesimpulannya, dalam setandan pisang tidak akan semuanya buruk dan tidak semuanya akan baik. Apa yang penting ialah keikhlasan mendidik anak bangsa.

E-JAD,
Kulai,
Johor.

Berita Harian Online: 18 Jun 2009

Tiada ulasan: