Selasa, 16 Jun 2009

Kursus 18 bulan mantapkan guru

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Pelbagai pihak mahu kerajaan lanjutkan KPLI

KUALA LUMPUR: Di sebalik bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkenaan cadangan Kementerian Pelajaran untuk memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), beberapa persatuan lain dan pentadbir di sekolah pula mahu cadangan itu diteruskan.

Malah, Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Kementerian Pelajaran, Jamali Paiman, berkata semua 26 persatuan guru yang bernaung di bawah majlis itu sudah bersetuju serta pernah meminta kementerian untuk memanjangkan tempoh pengajian KPLI itu.

Katanya, cadangan itu juga sudah dikemukakan dalam satu pertemuan bersama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi di Langkawi pada 7 hingga 9 Jun, baru-baru ini bersama 20 memorandum lain.

Justeru, katanya, kenyataan yang dikeluarkan Presiden NUTP, Hashim Adnan, adalah pandangan peribadi serta tidak mewakili kesatuan lain.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar (MGB), Ruslan Madun, berkata maklum balas yang diterima daripada kebanyakan guru besar yang bernaung di bawah MGB menunjukkan terdapat kelompok guru KPLI yang tidak bersedia menjadi guru selepas sekadar setahun berkursus di institut pendidikan guru (IPG).

“Banyak elemen lain yang biasanya tidak sempat didedahkan ketika belajar di IPG. Realiti sebenar yang akan dihadapi di sekolah tak sama seperti di IPG. Contohnya, kebanyakan bakal guru tidak didedahkan berkenaan skop tanggungjawab lain selain mengajar seperti penyediaan buku kedatangan pelajar dan kewangan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Ghani Bina, berkata kekurangan IPG dan ruang yang terhad dalam setiap pengambilan bakal guru menyebabkan ramai produk segera dilahirkan selama ini.

“Bukan nak dipertikaikan kemampuan graduan itu untuk menjadi guru tetapi bidangnya tidak sesuai. Mungkin dia hebat dalam bidangnya itu tetapi tidak sebagai guru. Apabila tempoh pengajian KPLI pula pendek, keadaan itu akan menjadi lebih kritikal,” katanya sambil menambah guru lepasan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) lebih menonjol dan berkemahiran dalam pengajaran serta aktiviti sekolah.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gedung, Kedah, Abu Bakar Awang, berkata kebanyakan guru lepasan KPLI tidak mempunyai sahsiah yang mantap berbanding guru lepasan diploma yang mengikuti kursus perguruan selama tiga tahun kerana dilihat lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas keguruan.

Guru Penolong Kanan SK Bandar Baru Darul Aman, Zulkifli Wan Ibrahim, berkata tempoh setahun pengajian KPLI tidak cukup untuk menggilap guru berkualiti.

Berita Harian Online: 16 Jun 2009

Tiada ulasan: