PUTRAJAYA 18 Jun - Kerajaan akan mempertimbangkan langkah menutup sekolah dan membatalkan perhimpunan awam sekiranya virus influenza A (H1N1) merebak di kalangan 20 orang yang pernah berinteraksi dengan pesakit kes penularan tempatan pertama.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun berkata, keputusan untuk mengadakan penjara sosial itu hanya akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara selepas H1N1 didapati merebak.
Beliau juga meminta orang ramai tidak panik kerana langkah penjara sosial hanya akan melibatkan komuniti kecil iaitu di sekolah atau kawasan perumahan yang terjejas.
''Kita sedang memerhati 20 orang yang pernah berinteraksi dengan pesakit ke-19 yang juga merupakan kes tempatan pertama yang disahkan.
''Kalau di kalangan mereka terdapat kes jangkitan baru, maka ia bermakna H1N1 telah menular di dalam negara kita," katanya selepas menerima kunjungan hormat wakil dari Skuad Bantuan Bencana MCA dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan kes penularan tempatan membabitkan seorang pelajar 17 tahun yang menetap di Petaling Jaya.
Tiong Lai berkata, masyarakat tempatan termasuk kanak-kanak perlu mengamalkan tabiat memakai penutup mulut sekiranya mereka mengalami selesema.
''Pada masa ini saya dapati kanak-kanak yang mengalami demam masih pergi ke sekolah seperti biasa dan menyebarkan virus kepada orang lain.
''Orang yang sakit sepatutnya mengamalkan budaya memakai penutup mulut, ia penting untuk mencegah penularan H1N1," katanya.
Dalam pada itu, Tiong Lai memberi amaran akan mengambil tindakan ke atas pesakit H1N1 yang tidak memberi maklumat tepat mengenai sejarah perjalanan mereka.
''Akta Kawalan Penyakit 1988 memperuntukkan kita kuasa untuk mendakwa mana-mana pesakit H1N1 yang tidak memberi maklumat yang tepat dan jelas.
''Pesalah boleh dikenakan penjara dua tahun, didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 19 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan