Jumaat, 19 Jun 2009

Pendekatan kaunseling atasi pelajar bermasalah

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


KAUNSELOR berbincang dengan guru kaunseling mengenai cara menangani jiwa remaja.

GURU kaunselor terpaksa membuat laporan kepada pengetua mahupun guru besar apabila mendapati ada pelajar berhadapan masalah kritikal hingga mengancam keselamatan, antaranya terbabit penyalahgunaan dadah atau cubaan membunuh diri.

Walaupun berpegang etika kerahsiaan dan kaunseling yang menuntut mereka menyimpan rahsia pelanggan, namun Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK), Zamzan Omar, berkata kes berkenaan tidak boleh disimpan kerana dikhuatiri memudaratkan pelajar berkenaan.

Beliau berkata, tindakan memaklumkan kepada pengetua bukan melanggar etika kaunselor sebaliknya ia dilakukan atas dasar menjaga kepentingan semua pihak yang terbabit antaranya pelajar dan keluarga masing-masing.


Katanya, berhadapan situasi genting guru kaunseling perlu bertindak rasional dengan memaklumkan perkara sebenar kepada pengetua supaya pelajar diselamatkan segera.

Penyalahgunaan dadah kata beliau, perlu diatasi segera dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam proses memulihkan pelajar berkenaan, jika tiada tindakan segera dikhuatiri mereka membuat tindakan luar dugaan.

“Lazimnya, masalah pelajaran, keluarga mahupun hubungan rakan sebaya, ia akan diselesaikan bersama antara kaunselor dan pelajar tanpa diketahui rakan mahupun guru lain.

“Berpegang kepada prinsip itu, pelajar tidak perlu takut meluahkan masalah untuk dibincang dan mencari jalan terbaik menanganinya. Pelajar perlu terbuka berkongsi masalah kerana menerusi perbincangan sedemikian memberi peluang mereka memperbaiki kelemahan.

“Kaunselor adalah pakar runding profesional dan mereka dilatih secukupnya menjadi pendengar setia kepada pelajar, selain amanah dalam menyimpan rahsia,” katanya ketika ditemui pada Seminar Guru Bimbingan dan Kaunseling Kebangsaan 2009, di Klang, Selangor, baru-baru ini. Program empat hari bermula 15 Jun lalu disertai 200 kaunselor seluruh negara.

Katanya, dia tidak menafikan ada pihak di luar sekolah mendakwa guru kaunselor tidak menjalankan tugasnya, sekali gus menyebabkan masalah remaja sukar dibendung.

Dakwaan itu kata beliau, tidak berasas kerana guru lebih dekat dengan pelajar berbanding orang luar yang sering menyalahkan sekolah setiap kali berlaku masalah di kalangan remaja.

Zamzan berkata, tidak dinafikan ada guru biasa dilantik guru besar mahupun pengetua menjadi kaunselor dalam mengendalikan sesi kaunseling, kemungkinan perkhidmatan diberikan belum mantap, bagaimanapun mereka perlu diberi peluang mengikuti kursus dalam meningkatkan kemahiran serta kecekapan dalam mengendalikan masalah pelajar.

Katanya, seramai 7,000 ahli MGKK, seluruh negara sudah mengikuti latihan dan kursus dari semasa ke semasa dalam proses memperkasakan kemahiran mengendalikan sesuatu kes.

Berita Harian Online: 19 Jun 2009

Tiada ulasan: