PETALING JAYA 23 Jun - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRK Assunta 1 hari ini lega dengan keputusan kerajaan menutup sekolah itu selama seminggu mulai esok, sehari selepas penutupan SRK Assunta 2.
SRK Assunta 1 yang menjalankan persekolahan pada sesi petang dan SRK Assunta 2 pada sesi pagi, berkongsi bangunan dan kemudahan yang sama.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengarahkan penutupan SRK Assunta 2 selama seminggu berikutan dua muridnya dari tahun satu dan lima disahkan positif influenza A (H1N1).
Ahli Jawatankuasa PIBG SRK Assunta 1, John Daniel, 48, menyifatkan keputusan menutup sekolah tersebut bijak kerana majoriti ibu bapa kini bimbang kesihatan anak mereka.
''Kebimbangan kita berasas. Ini kerana semua pelajar SRK Assunta 1 dan 2 berkongsi kemudahan sama termasuk tandas, kantin dan bilik darjah lebih-lebih lagi SRK Assunta 2 telah diarah tutup mulai hari ini.
''Kedatangan murid pada hari ini mencatatkan kemerosotan, hanya 13.5 peratus yang hadir berbanding jumlah keseluruhan 800 orang,'' katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia ke SRK Assunta 1 petang ini mendapati semua murid sekolah itu memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga penularan wabak H1N1.
Kebanyakan kelas didapati kosong serta kurang bilangan murid manakala ibu bapa menjemput pulang anak mereka mulai pukul 2.30 petang walaupun sesi persekolahan sepatutnya tamat 6.30 petang.
Seorang bapa, Hasan Mohd Aziz, 49, menyokong penutupan SRK Assunta 1 dan 2 kerana wabak H1N1 berbahaya.
''Ini wabak baru, kita pun tidak tahu sejauh mana risiko dan kesannya kepada murid-murid.
''Saya telefon pihak sekolah tetapi tidak dijawab, saya buat keputusan bawa pulang anak sebagai langkah pencegahan,'' katanya.
Sementara itu, seorang murid, Nurul Rahimah Mohd Hanipah, 12, ketika ditemui berkata, tiga daripada empat kelas tahun enam telah digabungkan memandangkan bilangan pelajar yang hadir terlalu sedikit.
''Biasanya, dalam kelas saya ada 40 orang tetapi hanya lapan yang hadir. Apabila digabung tiga kelas, jumlah pelajar hanya 24 orang,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan