TAHNIAH kepada kerajaan kerana membuat keputusan muktamad calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran mulai tahun depan.
Pendapat yang dibuka kepada umum mengenai isu itu akan berlarutan kerana walaupun berapa bilangan mata pelajaran yang dicadangkan tentu ada pro dan kontra. Akibatnya, ia menjadi perbincangan yang tidak berkesudahan. Jadi eloklah keputusan segera dibuat supaya kita tidak membuang masa kerana banyak lagi isu pendidikan yang lebih penting perlu diberi perhatian.
Saya percaya keputusan itu meyakinkan masyarakat kerana sudah pasti kerajaan mempunyai alasan kukuh. Ia akan memudahkan sekolah dan ibu bapa membuat perancangan yang lebih berkesan dalam menentukan aliran dan mata pelajaran yang akan diambil oleh pelajar.
Sejak sistem peperiksaan terbuka diperkenalkan, di samping memenuhi syarat pengambilan mata pelajaran teras, calon SPM boleh mendaftar seberapa banyak mata pelajaran elektif dalam peperiksaan. Akibatnya, ada calon mengambil antara 15 hingga 20 subjek.
Ada pelajar yang mendaftar mata pelajaran yang tidak ditawarkan di sekolah, belajar sendiri di luar waktu persekolahan.
Ia menyebabkan pelajar berkenaan tidak menerima pendidikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna.
Disebabkan keupayaan sesebuah sekolah terhad dari segi bilangan guru, opsyen mata pelajaran guru, bilik darjah, kemudahan dan peralatan mengajar, bilangan waktu mengajar seminggu dan kemampuan seseorang pelajar juga terhad;
Disebabkan keupayaan sesebuah sekolah terhad, maka bilangan maksimum mata pelajaran yang diambil amat wajar dihadkan demi kebaikan semua pihak.
Ketegasan kerajaan adalah munasabah, relevan dan bijaksana.
ZIN MARKAM,
Pontian, Johor.
Berita Harian Online: 19 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan