KEBIMBANGAN Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung nisbah guru lelaki dan perempuan yang tidak seimbang memang berasas.
Saya yakin sebagai pemimpin berjiwa besar, fenomena ini akan dijadikan sebagai antara agenda utama beliau.
Nisbah 20 guru lelaki dan 80 guru perempuan memang mengejutkan. Ia seolah-olah menunjukkan Kementerian Pelajaran sebelum ini tidak dapat mengesan ketidakseimbangan tersebut. Atau mungkin kementerian itu sebelum ini mengamalkan dasar ‘mesra guru perempuan’ dan ‘menutup rekod lelaki’ dalam kerjaya guru.
Nisbah rendah guru lelaki telah menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pendidikan hari ini. Antaranya gejala keruntuhan moral pelajar. Seperti di rumah, anak-anak lebih takutkan ayah daripada ibu. Jadi di sini, guru lelaki sepatutnya adalah ‘pemain utama’ menggantikan tugas bapa di sekolah.
Kekurangan guru lelaki menjadikan tanggungjawab sebagai bapa di sekolah semakin mengecil dan menjejaskan usaha membentuk disiplin pelajar.
Nisbah yang tidak seimbang turut menjadi punca kemerosotan mutu sukan. Guru perempuan tidak mampu memikul tugas fizikal dan pengorbanan masa maksimum untuk melatih pelajar dalam bidang sukan.
Itu belum lagi pelbagai alasan untuk tidak melakukan tugas lebih masa yang dituntut dalam profesion perguruan.
Maka di sini, peranan guru lelaki amat diperlukan. Guru bukan sekadar mengajar. Mereka juga pembina dan pembangun jati diri manusia.
Lelaki terkenal dengan kekuatan fizikal dan mental manakala kaum Hawa terkenal dengan ciri-ciri kesungguhan dan keazaman. Gabungan dua unsur ini mampu mencorakkan masa depan pelajar.
Sekiranya perkara ini tidak segera diatasi, dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, kerjaya guru akan senasib dengan jururawat.
Lelaki mungkin akan ‘pupus’ dalam kerjaya perguruan. Kita tidak mahu nanti riuh mengenai berita guru-guru perempuan diceraikan suami kerana terlalu ‘cintakan’ kerjaya mendidik anak-anak di sekolah lebih daripada keluarga disebabkan tiada guru lelaki untuk memenuhi tanggungjawab sepatutnya.
Maka nisbah 50 - 50 guru lelaki dan perempuan harus ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.
Elakkan kaedah meritokrasi dalam pemilihan calon guru.
Jika dalam tentera dan polis boleh dilakukan, mengapa tidak dalam pemilihan guru. Pilih yang terbaik antara sesama calon guru lelaki dan bukannya bersaing dengan calon perempuan.
Saya yakin Muhyiddin mampu melakukan sesuatu kerana beliau telah nampak kepincangan ini.
Kerjaya guru bukan kerjaya main- main atau ‘kerjaya makan angin’ kerana tugas besar menanti setiap guru.
Tanpa komitmen yang padu dan kemampuan diri yang tinggi pada seseorang guru, setiap dasar kerajaan akan terbantut kerana sekolah ibarat ‘landskap asas negara’. Ia mencerminkan kesinambungan kejayaan negara dalam semua bidang.
Selain itu, intai-intailah juga sektor awam lain. Mana tahu nisbah ketidakseimbangan turut berlaku.
Pendang
Utusan Malaysia Online: 15 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan