Khamis, 11 Jun 2009

Mula sekolah usia 6 tahun

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran disaran merombak semula sistem pendidikan dengan mengubah umur kemasukan murid ke sekolah rendah daripada usia tujuh tahun yang dipraktikkan sekarang kepada enam tahun.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, berkata kanak-kanak zaman milenium ini bersedia memasuki alam persekolahan seawal usia enam tahun berikutan pelbagai pendedahan diberikan.

Menurutnya, lebih banyak faedah yang boleh diperoleh jika memasukkan mereka ke sekolah rendah dalam usia awal berbanding sebelumnya.

“Dalam kajian mendapati lebih 90 peratus kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun mendapat pendidikan prasekolah di negara ini.

“Justeru, tidak timbul mengenai persediaan mereka memasuki alam sekolah rendah pada umur enam tahun kerana mereka sudah didedahkan ilmu ketika belajar di prasekolah,” katanya pada majlis forum antara UPSI dan media, semalam.

Malah katanya, dengan pelbagai kaedah pembelajaran terkini dan dibantu peralatan moden menyebabkan kematangan kanak-kanak zaman ini melebihi daripada generasi seusia yang sama ketika 20 hingga 30 tahun dulu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan beberapa isu dibangkitkan dan dikupas termasuk mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta cadangan wajib lulus subjek bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengenai PPSMI, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UPSI, Prof Madya Dr Mustaffa Ahmad, berkata pelajar dan guru memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk menyesuaikan keadaan mengajar dan belajar dalam kaedah berkenaan.

myMetro: 11 Jun 2009

Tiada ulasan: