Jumaat, 19 Jun 2009

Hilang tempat asah bakat


KEADAAN padang yang rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan di Stadium Hoki KPM di Jalan Pantai tetapi masih tidak diperbaiki sehingga kini.


KUALA LUMPUR 18 Jun - Amat mengecewakan. Itulah kesimpulan yang boleh dibuat terhadap keadaan padang sintetik di Stadium Hoki Kementerian Pelajaran (KPM) yang telah lama rosak tetapi masih belum diperbaiki.

Stadium Hoki KPM yang terletak di Jalan Pantai ini telah ditutup sejak penghujung tahun 2007 untuk dibaik pulih termasuk menukar padang asalnya kepada padang sintetik.

Bagaimanapun, setelah lebih setahun menunggu, tiada tindakan yang diambil oleh pihak KPM untuk memulakan kerja-kerja menukar dan membaik pulih permukaan padang yang rosak itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati stadium hoki itu merupakan satu-satunya stadium yang mempunyai padang sintetik di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, stadium hoki itu merupakan lokasi kepada ramai pelajar mengasah bakat dalam sukan hoki.

Namun, kelewatan melaksanakan kerja- kerja penukaran permukaan padang itu telah menimbulkan masalah kepada beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Tinggi Setapak, Sekolah Menengah St. John, Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas serta sekolah-sekolah lain yang aktif dalam sukan hoki.

Sudah tentu akan timbul kesukaran untuk sekolah-sekolah terbabit mengadakan latihan kerana stadium tersebut sudah tidak sesuai untuk digunakan.

Kebanyakan pelajar sekolah terbabit merupakan pelajar yang terpilih di bawah projek sekolah sukan KPM.

Lebih menyedihkan ialah apabila pelajar- pelajar tersebut terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri untuk menjalani latihan di stadium hoki bersebelahan yang diselia oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Setiausaha Persatuan Hoki Kuala Lumpur, V. Rajamanickam berkata, keadaan stadium itu memang amat mengecewakan dan lebih mengecewakan ialah apabila tiada tindakan diambil untuk memperbaikinya dengan segera.

Menurutnya, oleh kerana kekurangan tempat latihan, ia secara tidak langsung telah membantutkan aktiviti latihan dan mutu permainan hoki di negara ini.

"Di Kuala Lumpur ini, hanya ada empat padang hoki sahaja yang sesuai untuk digunakan iaitu Stadium Hoki Bandar Tun Razak, Stadium Hoki DBKL dan dua lagi di stadium di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil.

"Setiap hari pasti ada tempahan padang daripada pelbagai pihak yang ingin membuat latihan atau perlawanan persahabatan. Ini menyebabkan tempahan di setiap stadium di Kuala Lumpur penuh sehingga ke malam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, Stadium Hoki KPM sudah tidak boleh digunakan lagi kerana permukaannya padangnya yang koyak di merata-rata tempat, yang boleh membahayakan para pemain.

"Bola boleh melantun ke atas jika terkena bahagian yang terkoyak itu dan mungkin boleh mencederakan pemain," jelasnya.

Justeru, katanya, padang sintetik yang berkualiti perlu dipasang di stadium hoki itu kerana bakat-bakat muda perlu dibiasakan dengan permainan di atas padang yang digunakan di seluruh dunia.

Rajamanickam berkata, semasa stadium hoki itu diselia oleh DBKL, masalah itu tidak pernah berlaku kerana penyelenggaraannya dibuat dengan teliti.

"Penyelenggaraan untuk padang hoki adalah aspek terpenting bagi menjamin kualiti padang sentiasa berada di tahap terbaik," katanya yang sering merujuk kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa bagi memilih jenis padang yang berkualiti dan tahan lama.

Beliau berharap Kementerian Pelajaran akan menyiasat mengapa projek itu terbengkalai dan seterusnya mengambil langkah segera untuk memperbaikinya.

Sementara itu, seorang pemain hoki yang ingin dikenali sebagai Albert, 35, berkata, adalah tidak adil jika pihak kerajaan hanya menumpukan kepada perhatian dalam penyelenggaraan kemudahan di sekolah-sekolah sukan sahaja.

Katanya, kemudahan-kemudahan sukan di tempat lain yang telah dibina dengan belanja yang tinggi juga patut diberikan perhatian yang sewajarnya.

"Penyelenggaraan dan penjagaan kemudahan sukan yang ada perlulah berterusan dan dilaksanakan dengan cekap kerana ia mampu mengurangkan kos pembaikan," katanya.

Dia juga kesal kerana semasa di bawah penyelenggaraan DBKL, stadium itu tidak berhadapan dengan masalah seperti itu tetapi kini semuanya sudah rosak.

Albert berharap projek membaik pulih itu dapat disegerakan kerana permintaan terhadap stadium hoki itu amat tinggi.

Utusan Malaysia Online: 19 Jun 2009

Tiada ulasan: