PENGALAMAN bersekolah yang paling diingati kebanyakan kita ialah langkah pertama ke Darjah Satu, Tingkatan Satu atau hari pertama ke pusat pengajian tinggi. Ketika Darjah Satu kita diajar menulis ABC, mengira dan pelbagai lagi asas pelajaran. Bagi subjek Bahasa Inggeris, kita diajar lagu perihal Brother John dan bagi lagu Melayu, Burung Kakaktua paling popular.
Apakah masalah sebenar sehingga kita yang pernah dijajah pelbagai bangsa kembali berasa bahasa Inggeris payah dan menjadi badi kegagalan anak di sekolah. Mengapa kita tidak pelik melihat anak muda menggilai filem Barat. Tidakkah kita pelik melihat rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India meminati filem Bollywood.
Soal bahasa Inggeris mendatangkan masalah kepada pelajar luar bandar kerana pendekatan bersifat ilmiah perlu diubah. Apabila menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengajaran Matematik dan Sains, ia dilihat sebagai melentur buluh sejak dari rebung. Soal asas pembelajaran sesuatu subjek perlu diperkukuhkan seperti subjek lain yang diberi penekanan.
Langkah mewajibkan hanya 10 subjek SPM amat wajar agar fokus kejayaan subjek teras lebih terkawal. Soal mewajibkan bahasa Inggeris lulus dianggap perkara yang perlu dititikberatkan sebelum sesuatu subjek diajar dalam bahasa Inggeris.
Zaman dulu sistem kelas peralihan menyukarkan pelajar luar bandar untuk lulus kerana hanya proses pengajaran tanpa ada usaha memperbaiki kelemahan asasi pelajar dari kampung yang merangkak untuk lulus.
Soal lulus Bahasa Inggeris pada peringkat SPM perlu dilakukan dengan mengambil kira asas kukuh dipersiapkan sejak Darjah Satu, malah dari prasekolah. Buat masa ini mewajibkan bahasa Inggeris bukan tidak sesuai, tetapi masa adalah segala-galanya saat ini. Asas bahasa Inggeris perlu diperkukuh dengan kaedah setaraf pusat pengajian tinggi yang mengajar pelajar lemah bahasa Inggeris peringkat asas, pertengahan dan tinggi.
Hanya selepas bahasa Inggeris lulus baru pelajar dianggap mampu mengikuti kursus seterusnya. Kukuhkan asas sebelum anak kita memikul bebanan baru yang tidak tahu nasibnya seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), ditentang selepas ditatang.
ABDUL RAZAK IDRIS,
Banting,
Selangor.
Berita Harian Online: 22 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan