Khamis, 18 Jun 2009

SPM: 10 mata pelajaran kekal


MUHYIDDIN Yassin bertem dengan Menteri Pelajaran New Zealand, Anne Tolley di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Jun – Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya boleh mengambil 10 mata pelajaran mulai tahun depan, namun pengecualian diberikan kepada mereka daripada aliran agama sains.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan keputusan itu, pelajar aliran agama sains dibenarkan mengambil 11 mata pelajaran, tetapi hanya untuk tahun 2010 sahaja.

Katanya, kelonggaran itu terpaksa diberikan kepada pelajar aliran tersebut kerana pengambilan 11 mata pelajaran di dalam SPM telah menjadi amalan sejak sekian lama.

‘‘Setelah mengambil kira rayuan pentadbir sekolah agama sains, kerajaan memutuskan bahawa pelajar aliran ini (agama sains) diberikan pengecualian dan dibenarkan mengambil maksimum 11 mata pelajaran. Kita memahami kesukaran yang mereka hadapi.

‘‘Bagaimanapun, kelonggaran ini kita hanya berikan untuk tahun depan sahaja. Oleh itu, satu bentuk pengubahsuaian perlu dilakukan segera kerana mulai tahun 2011, semua pelajar termasuk aliran agama sains hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menghadiri satu program persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Sebelum ini, kerajaan menyedari permasalahan pelajar sekolah menengah aliran agama sains sekiranya mereka dihadkan mengambil 10 mata pelajaran dalam SPM kerana mengikuti pendidikan sains dan agama secara serentak.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pelajar yang menduduki SPM mulai tahun depan dibenarkan mengambil peperiksaan untuk maksimum 10 mata pelajaran sahaja.

Pengumuman itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pihak seperti MIC yang mendakwa pelajar tidak boleh lagi menduduki kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil secara serentak serta perlu memilih salah satu mata pelajaran sahaja.

Muhyiddin berkata, 11 mata pelajaran yang perlu diambil oleh pelajar aliran agama sains ialah empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.

‘‘Tiga lagi mata pelajaran agama iaitu Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah, Pengajian Syariah dan Bahasa Arab Tinggi. Empat lagi mata pelajaran sains tulen iaitu Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik Tambahan,” katanya lagi.

Menjawab satu pertanyaan, Muhyiddin berkata, pengecualian itu hanya dibenarkan kepada pelajar aliran agama sains dan bukan pelajar agama.

‘‘Pelajar agama tetap tertakluk kepada syarat pengambilan 10 mata pelajaran. Pelajar di sekolah persendirian dalam apa jua aliran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan pada asasnya kementerian telah menetapkan enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Agama Islam atau Moral.

Namun, katanya lagi, pelajar yang berada dalam tiga aliran iaitu agama sains, agama dan sains hanya perlu mengambil empat ke lima mata pelajaran teras.

‘‘Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, pelajar agama sains hanya perlu mengambil empat mata pelajaran teras kerana mereka tidak perlu mengambil Sains dan Pendidikan Agama Islam.

‘‘Pelajar aliran agama pula hanya perlu mengambil lima mata pelajaran teras dan begitu juga pelajar aliran sains kerana mereka tidak perlu mengambil Pendidikan Agama Islam dan Sains. Ini bertujuan untuk mengelakkan wujudnya pertindihan,” katanya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin sekali lagi memberi penekanan bahawa tujuan kerajaan mengehadkan pengambilan 10 mata pelajaran adalah untuk mengelakkan pelajar di negara ini terlalu berorientasikan pencapaian peperiksaan.

‘‘Saya percaya melalui usaha mengehadkan pengambilan kepada 10 mata pelajaran, ia mampu membangunkan potensi murid secara lebih intensif dan komprehensif.

‘‘Ia adalah kerana guru dan murid mempunyai lebih banyak masa untuk menyeimbangkan antara kegiatan akademik dan aktiviti kokurikulum,’’ katanya.

Beliau seterusnya mahu melihat perkembangan akal, rohani dan emosi murid lebih seimbang supaya ia selari dengan hasrat falsafah pendidikan kebangsaan.

Utusan Malaysia Online: 18 Jun 2009

Tiada ulasan: