Isnin, 22 Jun 2009

Mungkin lanjut tutup sekolah

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Tempoh penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Pudu Kuala Lumpur, mungkin dilanjutkan lebih seminggu jika wabak Influenza A (H1N1) masih merebak di kalangan pelajar sekolah terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memaklumkan langkah yang perlu diambil sekiranya tempoh seminggu itu tidak mencukupi mengawal penularan wabak terbabit.

“Kami akan maklumkan kepada guru besar dan guru, sama ada selepas tempoh seminggu (itu) nak tamat (penutupan), wajar disambung balik atau boleh kembali semula ke sekolah.

“Sekiranya keadaan di sekolah berkenaan bertambah baik dalam tempoh seminggu, mungkin pelajar dibenarkan kembali ke sekolah. Ini (penutupan) tidak dapat dielakkan walaupun saya rasa penting tidak mengganggu pelajaran anak-anak tetapi keselamatan dari segi kesihatan lebih penting.

“Jangan nanti berlaku wabak, ramai di sekolah itu terbabit.....ketika itu sudah terlambat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Rowing Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2009 di Kompeks Sukan Air di Presint 6, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penutupan SJKC Jalan Davidson selama seminggu bermula Jumaat lalu hingga 26 Jun berikutan penularan wabak H1N1 di sekolah itu selepas murid kedua dari sekolah itu disahkan positif.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah penutupan itu wajar bagi mengelakkan wabak berkenaan menular di kalangan pelajar.

“Jadi saya harap ibu bapa faham dan bekerjasama dengan pihak sekolah, pada masa sama pihak sekolah perlu bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab khususnya Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau keadaan sekolah itu dari semasa ke semasa, selain mengkuarantin pelajar yang dijangkiti.

Mengulas mengenai dua lagi sekolah yang turut mempunyai pelajar positif H1N1 iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 2 Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Seksyen 9 Shah Alam beliau berkata Kementerian Kesihatan masih memantau keadaan, dan sehingga semalam belum ada cadangan menutup sekolah terbabit.

“Apa pun saya akan tunggu apakah perakuan yang dibuat, sementara ini tindakan untuk kuarantin dan langkah berjaga-jaga sedang diambil kementerian,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom meningkatkan kempen kebersihan di sekolah dalam usaha untuk menangani wabak itu daripada terus menular.

“Saya sudah minta beliau menghantar risalah dan poster mengenai penjagaan kebersihan ke sekolah,” katanya.

myMetro: 22 Jun 2009

Tiada ulasan: