Selasa, 16 Jun 2009

Saringan pemohon KPLI diperketat

ISU berkaitan lanjutan tempoh pengajian bagi calon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) seharusnya dipandang daripada sudut positif dengan mengambil kira faktor keberkesanan � aspek pedagogi, keteguhan minat guru dan keupayaan menguasai kurikulum pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam jangka masa lebih matang.

Umum mengetahui, kebanyakan graduan memohon KPLI selepas kecewa dengan peluang pekerjaan yang sempit ditawarkan dalam bidang pilihan mereka ketika menuntut di universiti. Rata-ratanya memilih bidang perguruan sebagai pilihan terakhir dan disifatkan lebih baik daripada menganggur.

Namun, tindakan itu ternyata memberi banyak masalah kepada komuniti lain apabila sarjana yang sememangnya mengikuti pengajian dalam bidang perguruan dan pendidikan terpaksa bersaing untuk merebut penempatan guru di sekolah dengan pelajar KPLI yang belum terbukti minat dan cintanya terhadap profesion perguruan.

Tidakkah nanti golongan yang sememangnya bertekad mahu menjadi guru akan kecewa jika mereka gagal merebut penempatan selepas berhempas pulas selama empat tahun di universiti namun akhirnya gagal lantaran peluang mereka sedikit dikekang oleh guru KPLI?

Justeru, langkah terbaik ialah pihak Kementerian Pelajaran dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) perlu memperhalusi hasrat pemohon KPLI dengan mengadakan saringan lebih ketat, di samping mengekalkan cadangan lanjutan kursus pengajian KPLI untuk tempoh 18 bulan demi melahirkan guru yang benar-benar berminat serta mahu menyerahkan jiwa raga mereka mendidik anak bangsa.

Pihak berwajib juga pada masa sama, perlu memberi lebih keutamaan penempatan guru di sekolah kepada pelajar lepasan universiti yang sememangnya memilih bidang perguruan sebagai jurusan ketika menuntut.

Isu guru lelaki juga perlu dilihat daripada aspek lebih terbuka. Kekurangan guru lelaki di sekolah bakal menimbulkan kesukaran kepada pihak sekolah lantaran kudrat, kekuatan fizikal dan mental lelaki amat ditagih demi membangunkan sekolah.

Saya cukup bersetuju supaya nisbah antara guru lelaki dan wanita diseimbangkan dengan faktor kecemerlangan dan sahsiah guru tidak diabaikan sama sekali. Antara usaha lain, pihak kementerian boleh memperbanyakkan lagi jumlah guru lelaki di kawasan luar bandar dan pedalaman supaya mereka lebih berfungsi untuk membantu memajukan sekolah.

Barangkali usaha mewujudkan kuota khas bagi guru lelaki masih boleh dikaji selain membuka ruang pendapat dan perdebatan kepada umum, namun ia perlu diteliti bagi mengelak pelbagai masalah seperti masalah berkaitan pertikaian gender kemudian hari.

Diharap isu yang timbul ini dipandang pada posisi lebih terbuka. Tidak ada salahnya mewujudkan perdebatan dan mencantumkan carik-carik pandangan, asalkan ia menjurus kepada kecemerlangan terhadap mutu standard dalam sistem pendidikan negara.

ZULFAZLAN JUMRAH,
Fakulti Pengajian Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia.

Berita Harian Online: 16 Jun 2009

Tiada ulasan: