Jumaat, 19 Jun 2009

Tiga dipilih Tokoh Guru Pulau Pinang


Abdul Rahman Abbas (kiri) dan Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohamad (dua dari kiri) bergambar bersama tiga Tokoh Guru Negeri 2009, K. Mohan (kanan), Chuang Keng Kung (dua dari kanan) dan Nora L. Isa selepas menyampaikan anugerah pada sambutan perayaan Hari Guru 2009 peringkat negeri di Dewan Mutiara Politeknik Seberang Perai, semalam. - BERNAMA


BUKIT MERTAJAM 18 Jun - Bekas pengetua Sekolah Datuk Onn Butteworth, Nora L. Isa, 58, adalah antara tiga individu yang dipilih sebagai Tokoh Guru Pulau Pinang 2009 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.

Turut menerima anugerah itu ialah Bekas Pengerusi Kelab Kebajikan Guru Tamil Pulau Pinang, Mohan Kumarasamy, 64, dan Datuk Chuang Keng Kung, 71.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas menyampaikan anugerah tersebut pada majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Nora yang ditemui selepas majlis itu berkata, anugerah itu memberi inspirasi yang cukup bermakna kepada beliau dan berharap lebih ramai golongan guru yang berkebolehan dapat diketengahkan pada masa depan.

Katanya, guru yang baik bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik tetapi juga cemerlang dari segi rohani agar mereka menjadi insan yang berkualiti.

''Kita sering mendengar guru bermati-matian mahu melahirkan pelajar untuk mendapat 10A atau 12A dalam peperiksaan tapi adakah ini ukuran kita untuk mendapat seorang pelajar yang berkualiti?.

''Sudah tiba masanya untuk kita memikirkan soal apa karakter murid yang akan kita bentuk pada masa akan datang," katanya.

Keng Kung berkata, bidang perguruan tidak akan mendatangkan kekayaan tetapi memberikan kepuasan yang amat mendalam sekiranya berjaya membentuk pelajar yang cemerlang dan berguna kepada keluarga dan masyarakat.

''Ya, anda tidak akan kaya tetapi kepuasan melihat kejayaan anak-anak murid tidak ternilai harganya, itu tidak akan anda dapat dimana-mana," katanya.

Sementara itu, Kumarasamy, berkata, bidang perguruan semakin mencabar seiring dengan perkembangan semasa yang memerlukan guru memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Katanya, perkembangan dalam teknologi komunikasi sepatutnya memberi kelebihan dan dimanfaatkan oleh guru untuk memberi pengetahuan yang pelbagai kepada murid dan pelajar mereka.

''Adalah malang jika kita (guru) gagal menyesuaikan diri dengan perkembangan ilmu yang semakin pesat kerana kini ia merupakan antara kunci kepada kejayaan anak-anak murid," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 19 Jun 2009

Tiada ulasan: