KUALA LIPIS 14 Jun - Syarat mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris, (BI) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepatutnya dilaksanakan lebih awal lagi sebelum wujudnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman berkata, kesedaran dan idea itu sepatutnya wujud lima tahun lalu supaya PPSMI yang banyak menimbulkan polemik tidak diimplementasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang bermula di sekolah.
Beliau berkata, PPSMI yang dikatakan menjadi beban kepada pelajar dan guru sepatutnya tidak wujud dan pihak berkenaan perlu mencari strategi tertentu bagi memantapkan P&P Bahasa Inggeris di peringkat rendah dan menengah.
''Tujuan PPSMI adalah untuk memahirkan penguasaan bahasa berkenaan bermula di peringkat rendah menerusi P&P subjek Sains dan Matematik dan seterusnya sebagai persediaan menghadapi pekerjaan kelak.
''Bagaimanapun, kita dilihat gagal kerana tidak membuat persediaan yang cukup khususnya penguasaan bahasa itu di kalangan guru-guru termasuk pedagogi P&P pengajaran subjek berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohamed Shahrom yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelaksanaan PPSMI bukan sahaja memberi impak kurang senang pelbagai pihak malah berlaku perubahan dan rombakan yang melibatkan peruntukan besar di peringkat jabatan itu sendiri.
''Justeru, saya yakin pihak berkenaan perlu dan sudah membuat persediaan apabila idea mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris pada peringkat SPM.
''Diharap cadangan tersebut akan dipersetujui semua pihak dan tidak akan berlaku seperti cadangan PPSMI yang masih dalam pertikaian," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya kerajaan segera mengumumkan kedudukan PPSMI dengan mengambil kira pandangan dan pendapat dari kalangan tokoh bahasa, sastera, politik dan cendekiawan di negara ini.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGGLMS), Jemale Paiman berkata, pihak kesatuan bersetuju Bahasa Inggeris dijadikan syarat wajib lulus bagi memperoleh sijil penuh SPM kepada semua calon.
''Syarat lulus akan menentukan hala tuju lepasan SPM dan diterima dengan mudah untuk menghadapi pasaran kerja sama ada di negara ini atau di tempat lain," katanya.
Justeru, katanya, pencapaian Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di sekolah sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) bagi memperkasakan pendidikan dan pengisian modal insan.
Seterusnya, Jemale meminta Kementerian Pelajaran melatih lebih banyak guru bahasa Inggeris berkualiti untuk dihantar bertugas di luar bandar dan pedalaman agar taburan guru subjek itu seimbang dengan bandar.
''Dengan memperkemaskan pengajaran bahasa Inggeris, subjek Matematik dan Sains boleh diajar semula dalam bahasa ibunda masing-masing dan pada masa yang sama Bahasa Melayu dimantapkan bermula di sekolah rendah dan berkembang sebagai lingua-franca," katanya.
Utusan Malaysia Online: 15 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan