Rabu, 17 Jun 2009

Sekolah Terbilang: Menggapai taraf dunia

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


AMALAN belajar secara berkumpulan bantu tingkat prestasi pelajar ASiS.

ASiS laksana program pengantarabangsaan dedah pelajar amalan pendidikan, pemikir global

SEJAJAR visi 'Menzahirkan pelajar bertaraf dunia' Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS), Cheras giat menjalankan program pengantarabangsaan bagi menyuntik semangat warga sekolah itu melonjak pencapaian mereka.

Pengetuanya, Mohd Idrus Abd Hamid, berkata selain mendedahkan pelajar dan guru mengenai perkembangan pendidikan di luar negara, program itu berjaya memperluas rangkaian hubungan dengan institusi pendidikan global.

Beliau memberi contoh, hubungan baik terjalin dengan Mahidol Wittaya Nuborn School, Bangkok membuatkan ASiS satu-satunya sekolah dari Malaysia menerima jemputan menyertai program antarabangsa tahunan, International Students Science Fair yang memberi peluang pelajar seluruh dunia membentang topik berkaitan bidang sains.

Katanya, program pengantarabangsaan lain adalah lawatan ke Princess Chulabhorn’s College di daerah Satun dan Nakorn Si Thammarat, Thailand pada Julai tahun lalu bagi membincangkan isu semasa berkaitan sistem pendidikan di kedua-dua negara.

Selain itu, katanya, lawatan sama diadakan ke Sekolah Yayasan Panglima Besar Soedirman, Jakarta dan Sekolah Menengah (SM) Agama Negeri 1 Raya, Lombok Tengah di Indonesia pada 2007 bagi program perkongsian pembelajaran serta penempatan pelajar.

Mohd Idrus Abd Hamid

Malah, misi kemanusiaan turut diadakan di negara jiran itu pada Ogos tahun lalu bagi memberi peluang warga sekolah menghulur bantuan kepada mangsa gempa bumi di Yogyakarta.

Tahun ini, katanya, pelaksanaan program diperluas ke Perth, Australia pada bulan lalu membabitkan lawatan 23 pelajar dan 19 guru ke University of Western dan Curtin University of Technology untuk tujuan sama.

“Program pengantarabangsaan ASiS secara tidak langsung membantu sekolah mencapai visi kerana sejak di peringkat sekolah mereka didedahkan kepada amalan pendidikan dan pemikir global.

“Pelaksanaan program ini akan terus dipertingkat dengan mengadakan lawatan ke lebih banyak negara termasuk perancangan berkunjung ke United Kingdom tahun depan setelah perbincangan diadakan dengan Pengetua Camborne Science & Community College, baru-baru ini,” katanya.

PELAJAR ASiS membuat pembentangan sempena International Students Science Fair yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini.

Mohd Idrus berkata, pendedahan diterima mampu meningkatkan amalan kerja serta kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) hingga berupaya melonjak pencapaian sekolah dalam tempoh singkat.

“Contoh, pencapaian ASiS dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia melonjak dari kedudukan ke-24 di kalangan sekolah berasrama penuh (SBP) kepada tempat keempat pada 2005, dan ketiga terbaik di kalangan SBP serta pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sejak 2006 hingga tahun lalu.

Mengenai pencapaian bidang kokurikulum, beliau berkata sekolah itu terkenal dengan kumpulan zapin, nasyid dan dikir barat, selain kerap mengungguli pertandingan bowling peringkat WPKL.

“Walaupun baru enam tahun ditubuhkan, ASiS berjaya melonjak pencapaiannya melangkaui sekolah lain yang sudah lama ditubuhkan.

“Kejayaan ini bukan saja hasil program pengantarabangsaan dijalankan, malah komitmen guru sanggup bekerja sepenuh masa bagi membimbing pelajar dengan mengamalkan kaedah P&P berkesan dan fleksibel.

“Malah pelajar turut memainkan peranan meningkatkan pencapaian secara keseluruhan dengan mengadakan program khas membimbing rakan mereka yang mempunyai rekod pencapaian akademik kurang memberangsangkan,” katanya.

INFO: Pencapaian Aktiviti Kokurikulum ASiS

Peringkat Kebangsaan:

  • Johan Jemputan Olahraga Kolej Yayasan Saad (2005)

  • Naib Johan Pertandingan Kriket Persatuan Kriket Malaysia (2005)

    Peringkat WPKL:

  • Jemputan Olahraga SM Kebangsaan Setiawangsa (2005)

  • Johan Kategori Inovasi Sains Pertandingan Inovasi Sains dan Kejuruteraan (2005)

  • Naib Johan Pertandingan Kuiz Pengguna (2005)

  • Pertandingan Kawad Kaki Perseorangan Bomba (2008)

  • Berita Harian Online: 17 Jun 2009

    Tiada ulasan: