JOHOR BAHRU 12 Jun - Belajar bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang itu 'orang putih', sebaliknya ia memudahkan orang ramai berkomunikasi, kata isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris.
Menurut baginda, matlamat utama mempelajari bahasa Inggeris adalah untuk berkomunikasi dengan orang luar, selain ia merupakan bahasa ilmu.
''Sebagai contoh, saya yang belajar di London tidak pula menukar warna rambut kepada perang.
''Saya tetap suka pakai baju kurung seperti wanita Melayu lain. Belajar bahasa Inggeris juga tidak pernah menghalang saya menikmati sambal belacan,'' katanya.
Beliau yang juga Penaung Persatuan Bahasa Inggeris Malaysia itu berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris (MELTA) 2009 di Hotel Puteri Pacific di sini semalam.
Lebih 500 peserta dari seluruh negara menghadiri persidangan tiga hari yang bermula kelmarin.
Tambah Raja Zarith Sofiah, gesaan mempelajari bahasa Inggeris juga bukan merupakan agenda politik, sebaliknya bahasa itu perlu dipelajari kerana ia adalah bahasa antarabangsa.
Kata beliau, bahasa tersebut juga dapat membantu pelajar mencari ilmu pengetahuan kerana melaluinya seseorang itu akan mendapat sesuatu maklumat dengan lebih pantas.
''Jadi, belajarlah bahasa Inggeris kerana ia memberi banyak manfaat,'' katanya.
Mengenai cadangan Bahasa Inggeris dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia, beliau berkata, kerajaan harus mengkaji secara teliti sebelum membuat keputusan mengenainya.
Katanya, Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira pandangan golongan pendidik kerana mereka lebih arif dan mempunyai banyak pengalaman dalam memastikan cadangan itu boleh dilaksanakan.
Utusan Malaysia Online: 13 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan