Sabtu, 27 Jun 2009

Pelajar serang rumah guru

KUALA TERENGGANU 26 Jun - Mereka datang dengan penuh rasa dendam dan marah.Setibanya di rumah guru itu, kumpulan tersebut mula membuat bising. Mereka semakin ganas dengan menjerit dan mencabar guru terbabit supaya keluar dari rumah.

Guru tersebut tidak berani untuk keluar melihat tindakan kurang ajar kumpulan itu yang masing-masing baru berusia 15 tahun.

Dia hanya mengintai dari tingkap rumahnya - melihat tiga daripada mereka terbabit memanjat pagar rumahnya. Bagaikan dirasuk hantu, kumpulan itu mula menggegarkan pintu jeriji rumah guru berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, dua buah kereta milik guru tersebut, Proton Waja dan Proton Satria turut dirosakkan.

Tindakan ganas ini bukanlah aksi filem atau perlakuan ah long - sebaliknya kumpulan pelajar sekolah yang tidak berpuas hati selepas salah seorang rakan mereka dirotan.

Salah seorang rakan mereka sebelum itu dirotan oleh guru disiplin terbabit, atas kesalahan ingkar arahan guru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang, guru berusia 38 tahun itu berada di rumahnya di Kampung Paya Resak, Bukit Payong bersama isteri dan seorang anaknya.

Menurut beliau, ketika itulah pelajar tersebut datang secara berkumpulan dan menyerang rumahnya.

"Mereka mencabar guru tersebut, namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi menyebabkan pelajar itu naik berang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, guru itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong kira-kira pukul 7.40 petang selepas kesemua pelajar itu beredar.

Bertindak atas laporan, katanya, polis menahan dua pelajar tingkatan tiga yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu pada hari sama untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati, pelajar tersebut mengaku mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati setelah rakan mereka dirotan.

Kes itu, kata Mohd. Fauzi, disiasat di bawah Seksyen 147, 427 dan 506 Kanun Keseksaan. Pihak polis kini sedang mengesan saki baki pelajar yang terlibat dalam kejadian itu.

Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2009

Tiada ulasan: